Bayaran inisiatif bantu mangsa banjir sehingga RM15,000 esok: PM

January 9, 2022 · Isu semasa

Bayaran inisiatif bantuan antara RM2,500 dan RM15,000 bagi meringankan beban mangsa banjir baru-baru ini, akan bermula esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) akan menyalurkan wang itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diserahkan kepada mangsa banjir yang terlibat.

Bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana tersebut, lapor Bernama.

“Terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai seperti dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima. Kita serahkan kepada pihak daerah untuk berbincang dengan ICU JPM dalam urusan pembayaran.

“Saya mahu pembayaran ini disegerakan dan jangan disulitkan…jangan ada macam-macam borang yang perlu diisi kerana senarai (mangsa banjir) sudah ada jadi tidak perlu borang. Prinsip kita jangan ada karenah birokrasi yang susah sebaliknya mudahkah bantuan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang kepada 478 mangsa banjir daerah Bera termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Ismail Sabri berkata kerja pembaikan rumah rosak yang melibatkan baik pulih kontraktor dilantik, telah mula dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagi bantuan baik pulih kenderaan pula, Ismail Sabri berkata pejabat daerah dan tanah juga diminta menyenaraikan bengkel di kawasan terlibat supaya mangsa banjir tidak perlu ‘keluar jauh’ bagi mencari pusat servis kenderaan seperti Proton, Perodua atau jenama lain yang mungkin tidak terdapat dalam kawasan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata walaupun senarai mangsa banjir sudah ada di tangan pihak menguruskan bantuan, namun jika terdapat individu tercicir, mereka diminta merujuk kepada pejabat daerah, yang juga dipertanggungjawabkan menyiasat jika terdapat unsur penipuan dalam permohonan bantuan.

“Pegawai daerah boleh menyemak dengan ketua kampung yang tahu dan ada senarai rumah siapa yang ditenggelami air atau siapa yang berpindah ke rumah saudara-mara. Jika di pusat pemindahan sementara (PPS) kita sudah ada senarai (mangsa banjir).

“Di kampung kita juga ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mereka juga boleh serahkan nama kepada pegawai daerah. Harap mereka dan ketua kampung akan membantu kerajaan mengenal pasti mangsa yang mengalami bencana ini untuk dibantu sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pelbagai ‘bantuan banjir paling banyak dan cepat diberikan’ itu sebagai tanda-tanda Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Tak ada kena mengenai dengan PRU. Apabila rakyat susah, itu tanggungjawab dan kewajipan kerajaan membantu. Ini bukan hanya bantuan daripada kerajaan Persekutuan, tapi kerajaan negeri juga banyak memberi bantuan. Contohnya kerajaan Pahang turut memberikan sumbangan tunai.

“Kita juga terima permohonan beberapa kerajaan negeri yang hendak membantu dalam pembinaan rumah. Kita perlukan bantuan kerana sebagai contoh jika tanah terlibat ialah tanah rizab sungai, kita perlukan kerjasama kerajaan negeri untuk mencari tapak lain supaya tidak risau dilanda banjir setiap tahun,” katanya.

Mengulas mengenai pembayaran BWI, Perdana Menteri berkata proses pembayaran di seluruh negara hampir selesai dengan 42,901 ketua isi rumah (KIR) daripada 45,475 atau 94.3 peratus yang berpindah ke PPS sudah menerima wang itu, manakala bagi yang tidak berpindah ke PPS, pembayaran melibatkan 8,631 (KIR) daripada 9,203 atau 93.8 peratus.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
278 mangsa banjir di tiga negeri masih ditempatkan di PPS
January 17, 2024· Isu semasa
Banjir Kelantan: Penduduk di Kuala Krai terputus hubungan, jalan tenggelam
December 27, 2023· Isu semasa
Banjir: Kelantan dan Perak catat peningkatan mangsa dipindahkan
December 17, 2023· Isu semasa
Popular
PM wakili rakyat ucap tahniah keputeraan Yang di-Pertuan Agong
June 6, 2021
Adibah Noor meninggal dunia, Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga
June 19, 2022
[KEMAS KINI] Kes baharu semakin tinggi melepasi 13,000
July 15, 2021
Masalah pengangkutan awam tiada kesudahan
June 27, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
23 jam lalu · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok