Pecah amanah RM50.4j: Hasanah dilepas tanpa dibebas

April 12, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Ketua Pengarah Organsasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab Hamid, daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa, pihaknya memohon untuk tidak meneruskan kes terhadap Hasanah, lapor Bernama.

“Timbalan pendakwa raya menyatakan bahawa tertuduh (Hasanah), akan dihadapkan semula dengan pertuduhan di masa akan datang. Timbalan Pendakwa Raya juga telah menjelaskan mengenai kewujudan penemuan-penemuan baharu.

“Dalam keadaan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah mengemukakan alasan yang wajar dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh. Oleh yang demikian, mahkamah dengan ini memberi perintah agar tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” kata hakim itu.

Hakim Ahmad Shahrir juga berkata, apabila pendakwa raya menjalankan kuasa-kuasanya di bawah Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, adalah menjadi kewajipan mahkamah berdasarkan Seksyen 254(3) kanun sama, untuk mempertimbangkan sama ada tertuduh sepatutnya diberi perintah pelepasan tanpa pembebasan atau perintah pelepasan dan pembebasan.

“Ini ialah kuasa budi bicara kehakiman yang mesti dipertimbangkan menurut lunas undang-undang. Hakikatnya, mahkamah tidak boleh menggesa pendakwa raya untuk tetap meneruskan kes terhadap tertuduh, jika pendakwa raya menarik balik pertuduhan tersebut. Inilah kedudukan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah berkata, pihaknya tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada 6 Okt tahun lepas dengan 10 saksi pendakwaan telah memberi keterangan, antaranya Pegawai Siasatan di Bahagian Forensik Teknologi Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Badri Azni, dan Penolong Penguasa SPRM Muhammad Nizhar Kadir.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara dengan memanggil saksi-saksi terlindung untuk memberi keterangan.

Namun, pihak media dan orang awam tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah pada hari ini (12 April) hingga 16 April, bagi mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang dijalankan secara tertutup, kerana ia melibatkan isu keselamatan negara.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Popular
Kesunyian punca jadi pembuli siber
September 9, 2022
110,000 pesakit berisiko kumpulan pertama dirawat guna Paxlovid
March 5, 2022
Tiada Ketua Polis Daerah di Selangor suspek kes dera
September 9, 2022
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
16 jam lalu · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok