Polis Diraja Malaysia telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, dengan mengatur gerak 9,356 anggotanya bagi melakukan kawalan keselamatan serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bermula 6 Disember ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya sudah bersiap sedia dengan keanggotaan polis Sarawak adalah mencukupi untuk memastikan PRN negeri itu berjalan lancar.
“Semua anggota dan pegawai membabitkan kontinjen Sarawak, namun Bukit Aman bersedia menambah petugas jika diperlukan.
“Polis sudah bersiap sedia dan kami tidak mempunyai sebarang masalah menghadapi penugasan PRN Sarawak tidak lama lagi.
“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai tidak cuba mencetuskan kekecohan dan mematuhi SOP untuk memastikan PRN ini berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember, pengundian awal (14 Disember) dan pengundian biasa (18 Disember), dengan kempen selama 12 hari.
Terdapat seramai 1,252,014 pengundi biasa berdasarkan daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 2 November 2021, dan 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 orang anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.
Sementara itu beliau berkata, sehingga kini 2,596 Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan digerakkan di seluruh negara bagi memantau SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, polis akan memberi penekanan terhadap pematuhan SOP PPN susulan kelonggaran beberapa sektor dan pergerakan orang ramai.
“Orang ramai mula keluar rumah ketika fasa PPN. Bila sudah keluar sudah tentu mereka kadang-kala langgar SOP. Dalam hal ini, kita sediakan 2,956 pasukan untuk pemantauan pematuhan di seluruh negara.
“Untuk Selangor sahaja, kita tubuhkan 339 pasukan, manakala kalau di Gombak kita ada 14 pasukan untuk laksanakan tanggungjawab mereka.
“Kita fokus kepada yang mereka melanggar SOP. Jika mereka degil, kita akan ambil tindakan kompaun mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya.