Kerajaan tidak membenarkan rakyat Malaysia melawat beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe, berkuat kuasa esok, 27 November 2021.
Langkah berjaga-jaga itu diambil sebagai tindakan pencegahan dan kawalan susulan penemuan varian baharu Covid-19 yang dilaporkan lebih berbahaya daripada Delta.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan juga mengenakan sekatan sementara kepada semua rakyat asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara terbabit.
Katanya, rakyat Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara berkenaan dibenar masuk, tetapi dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira stauts vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
“Selain itu sample akan diambil dari individu yang tiba dari negara-negara tersebut untuk survelan genomik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan mengenai varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529 yang menyatakan varian itu menular di Afrika Selatan membabitkan 77 kes; Botswana (empat); dan Hong Kong (dua).
Kes pertama dilaporkan di Botswana pada 11 November, manakala 14 November di Afrika Selatan, dan Hong Kong (25 November). Kes di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.
Menurut laporan itu, varian baharu berkenaan mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta. Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kadar kebolehjangkitan bagi varian berkenaan.
Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekarang ini masih lagi melakukan pemantauan yang rapi mengenai perkembangan berkaitan laporan varian baharu itu. WHO mengkategorikan varian baharu itu sebagai ‘variant under monitoring (VUM)’.
Mengulas lanjut Khairy berkata KKM memandang serius kewujudan varian baharu itu dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian berkenaan.
“Pemantauan berterusan bagi survelan genomik dijalankan oleh konsortium yang terdiri daripada KKM, melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Berdasarkan survelan genomik yang dijalankan sehingga 26 November 2021, tiada virus Covid-19 varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia,” katanya.