Tiga hakim Mahkamah Tinggi benar Najib pinda tarikh serah pasport

October 26, 2021 · Isu semasa

Tiga hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya buat sementara bagi membolehkannya melawat anaknya, Nooryana Najwa yang bakal melahirkan anak kedua di Singapura bulan depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonannya yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, meminda tarikh kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri itu mendapatkan pasportnya daripada 20 Oktober lalu dan dipulangkan semula pada 22 November ini.

Bagaimanapun, Najib memohon meminda tarikh berkenaan kerana beliau terpaksa menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November ini.

Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada ketika itu akan berangkat ke Jerman bagi mendapatkan rawatan sakit belakangnya.

Menurut Najib, beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid.

Permohonan Najib meminda tarikh penyerahan pasport dibuat kepada tiga hakim berkenaan yang mengendalikan tiga pertuduhan jenayah berasingan yang dihadapinya sebelum ini.

Di hadapan Hakim Mohamed Zaini, Najib menghadapi pertuduhan terlibat dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Perbicaraan kes itu bersambung pada 29 Oktober hingga 30 November ini namun akan dijadual semula kerana Najib berada di Singapura.

Sementara itu, Najib juga menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama, dihadapan Hakim Sequerah.

Di hadapan Hakim Muhammad Jamil, Najib menghadapi enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
7 jam lalu· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Popular
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024
Letak jawatan jika tak sebulu dengan kerajaan, kata Hadi Awang
May 10, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok