Isu berkaitan kemewahan, kekayaan tersembunyi, melarikan cukai dan dalam beberapa kes membabitkan pengubahan wang haram, kembali memeranjatkan dunia menerusi pendedahan ‘Pandora Papers’.
Perkataan ‘Pandora’ sinonim dengan seorang gadis menurut mitos kuno Yunani yang ingin mengetahui isi sebuah ‘peti mati’ mengandungi kesengsaraan manusia, kemalangan dan masalah, dalam simpanan tuhan Zeus.
Zeus melarang peti atau kotak itu dibuka kerana akan mencetuskan masalah kepada dunia, namun Pandora tidak boleh menahan isi hatinya untuk mengetahui sesuatu yang tersembunyi, lalu membukanya sedikit.
Maka, muncullah istilah ‘Pandora’ dalam kehidupan global masa kini, termasuk digunakan juga dalam bidang astronomi.
Demikian juga ‘Pandora Papers’. Di dalam ‘petinya’ mengandungi hampir 12 juta dokumen berkaitan kekayaan tersembunyi, kegiatan mengelak cukai dan, dalam beberapa kes, pencucian wang haram oleh orang kaya dan berkuasa di dunia.
Lebih 600 wartawan dari 117 negara telah meneliti fail daripada 14 sumber selama berbulan-bulan, menghasilkan berita yang kemudian disiarkan minggu lalu.
Data tersebut diperoleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Washington DC, yang telah bekerjasama dengan lebih dari 140 organisasi media dalam penyelidikan global terbesarnya.
‘Pandora Papers’ mendedahkan, termasuk 6.4 juta dokumen, tiga juta imej, lebih sejuta e-mel dan hampir setengah juta spreadsheet.
Ia turut mendedahkan bagaimana beberapa orang paling berkuasa di dunia – termasuk lebih daripada 330 ahli politik dari 90 negara – menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan kekayaan mereka.
Lakshmi Kumar dari kumpulan pemikir Global Financial Integrity Amerika Syarikat (AS) menjelaskan individu ini mampu menyalurkan dan menyedut wang serta menyembunyikannya, melalui syarikat tanpa nama.
Di Malaysia, 10 individu didedahkan dalam ‘Pandora Papers’ termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas ahli PKR, William Leong dan beberapa lagi nama, termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.
Pendedahan besar pada peringkat global turut membabitkan pemilik 1,500 unit kediaman di United Kingdom (UK) yang dibeli menerusi firma luar pesisir, termasuk individu yang dituduh rasuah.
‘Pandora Paper’ turut mendedahkan:
* Keluarga pemerintah Qatar yang berjaya mengelak cukai sebanyak £18.5 juta untuk sebuah rumah di London;
* Raja Jordan didakwa membeli hartanah di UK dan Amerika Syarikat (AS) bernilai £70 juta melalui sebuah syarikat rahsia;
* Keluarga Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta secara rahsia memiliki rangkaian syarikat luar pesisir selama beberapa dekad;
* Keluarga pemimpin Azerbaijan menyembunyikan perjanjian hartanah di UK bernilai lebih £400 juta; dan
* Perdana Menteri Czech gagal mengisytiharkan syarikat pelaburan luar pesisir untuk membeli dua vila di Perancis bernilai £12 juta.
‘Pandora Papers’ mendedahkan rangkaian syarikat yang kompleks yang ditubuhkan melintasi sempadan, sering kali bertujuan bagi menyembunyikan wang dan aset.
Contohnya, mungkin seseorang individu mempunyai harta di UK, tetapi memilikinya melalui rangkaian syarikat yang berpangkalan di negara lain atau ‘luar pesisir’.
Negara atau wilayah luar pesisir ini adalah tempat di mana:
1. Mudah untuk menubuhkan syarikat;
2. Terdapat undang-undang yang menyulitkan untuk mengenal pasti pemilik syarikat; dan
3. Cukai korporat yang rendah atau tiada langsung.
Destinasi pusat kewangan luar pesisir sering disebut sebagai syurga cukai atau bidang kuasa kerahsiaan. Tidak ada senarai syurga cukai yang pasti, tetapi destinasi yang paling terkenal termasuk wilayah luar Britain seperti Kepulauan Cayman dan Kepulauan British Virgin, serta negara-negara seperti Switzerland dan Singapura.
Ada juga sejumlah alasan yang sah individu tertentu menyimpan wang dan aset di negara lain, seperti perlindungan daripada jenayah atau menjaga kekayaan daripada keadaan pemerintah negara yang tidak stabil.
Walaupun memiliki aset rahsia luar pesisir tidak salah, menggunakan rangkaian syarikat rahsia yang kompleks untuk menggerakkan wang dan aset adalah cara sempurna untuk menyembunyikan hasil jenayah.
Apa yang perlu anda lakukan adalah menubuhkan syarikat di salah satu negara atau wilayah yang mempunyai kerahsiaan tinggi. Firma itu yang hanya wujud nama sahaja, tanpa kakitangan atau pejabat.
Walaupun harganya mahal, syarikat yang pakar akan dibayar untuk menubuhkan dan menggerakan firma rahsia itu bagi pihak anda. Syarikat-syarikat ini dapat memberikan alamat dan nama lembaga pengarah yang dibayar gaji, oleh itu ia tidak meninggalkan jejak siapa yang berada di belakang perniagaan itu.
Tidak mustahil untuk dikatakan dengan pasti, tetapi anggaran jumlah wang yang ‘disembunyikan’ melalui syarikat luar pesisir berkisar antara AS$5.6 trilion hingga AS$32 trilion, menurut ICIJ.
Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengatakan bahawa penggunaan luar pesisir menyebabkan kerajaan di seluruh dunia kehilangan AS$600 bilion setahun dalam bentuk cukai.
Sebagaimana mitos Yunani menceritakan kesan kepada dunia akibat tindakan Pandora membuka ‘peti mati’ milik Zeus, demikian juga kekecohan yang berlaku di seluruh dunia apabila ICIJ membuka peti ‘Pandora Papers’. – Agensi