Ia sangat ironi apabila atuk Seri Najib Razak yang berdepan tuntutan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini mencadangkan satu bentuk cukai baharu diperkenalkan, Cukai Pemulihan Covid-19 selama dua tahun.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan Najib perlu membayar saman cukai bernilai RM1.69 bilion dan bekas Perdana Menteri yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kini sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.
“Ramai yang memberi cadangan kepada kerajaan bagaimana mahu membelanjakan peruntukan dalam menangani Covid-19.
“Bagaimanapun, saya dapati kurang yang mencadangkan bagaimana kerajaan boleh memperoleh hasil atau pendapatan kepada negara,” katanya dipetik portal MalaysiaGazette semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Cukai yang dicadangkan Najib itu merupakan cukai durian runtuh, cukai pembangunan kondo mewah, cukai duti setem transaksi harta dan perdagangan saham, kenaikan cukai peribadi kepada golongan berpendapatan tinggi.
Beliau juga mencadangkan kerajaan menuntut perkongsian hasil untung yang diperolehi industri perkhidmatan atas talian dari syarikat-syarikat gergasi antarabangsa seperti Amazon, Netflix, Youtube, Google, Facebook yang selama ini mengaut keuntungan tetapi tidak pernah dicukai oleh negara.
Ujarnya, cukai tersebut dikenakan ke atas keuntungan syarikat, bukan ke atas pengguna atau pelanggan.
Najib dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin kini sedang berdepan tuntutan saman cukai masing-masing bernilai RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
Selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan terhadap tuntutan cukai LHDN pada Khamis lalu, Najib dan anaknya yang tidak berpuas hati mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan.