RM5.9 juta disumbangkan beli dua banglo untuk diwakaf: peguam Zahid

September 13, 2021 · Isu semasa

Peguam mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi sebanyak RM5.9 juta wang dana Yayasan Akalbudi disumbangkan kepada sebuah yayasan lain bagi membeli dua lot banglo untuk diwakafkan.

Peguam Presiden UMNO itu, Hisyam Teh Poh Teik dalam hujahnya berkata sumbangan tersebut merupakan sedekah dan amal jariah, malah salah sebuah banglo itu telah dibangunkan menjadi sebuah surau lengkap dengan bilik mesyuarat.

Jelasnya, pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang yang dikeluarkan daripada akaun pemegang amanah Tetuan Lewis & Co. yang disalurkan kepada Yayasan Al-Falah itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Hujah Hisyam lagi, wang RM5.9 juta itu sebaliknya merupakan sumbangan daripada dua ahli perniagaan, Junaith Asharab dan Mubarak Hussain Akhtar Husin yang mana kedua-duanya merupakan saksi pendakwaan.

Mubarak Hussain yang merupakan saksi pendakwaan ke-66 dalam keterangannya menyatakan, wang tersebut adalah sumbangan bagi membangunkan sekolah tahfiz milik bekas Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, Junaith Asharab (saksi pendakwaan ke-36) menyatakan, cek turut diserahkan kepada Zahid untuk membangunkan masjid di Bagan Datuk, Perak.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan prosiding penghujahan bersambung esok.

Mahkamah mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Hilang duit dalam akaun: Salah bank atau pengguna?
September 2, 2022
Melancong, beriadah redakan stres
February 15, 2023
Banglo RM7.8 juta tular di Sik : Pemilik tampil jelaskan
July 14, 2023
Empat negeri miskin tegar, 4 negeri ‘orang kaya’
December 1, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok