Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah berniat untuk menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu apabila mengambil masa untuk membuka semula sidang Dewan Rakyat seperti yang dititahkan.
Sebagaimana diberitahu oleh beberapa pemimpin, terutama yang mengerti mengenai peraturan Parlimen, pembukaan untuk sidang Dewan Rakyat bukannya mudah, sebaliknya perlu melalui beberapa prosedur, apa lagi sekarang ini adalah waktu tegang penularan pandemik Covid-19.
Namun, mereka yang tidak ada kerusi di Parlimen pula yang ‘menyalak-nyalak’ lebih mengikut rentak pemimpin yang ada kepentingan diri, yang menggesa Dewan Rakyat bersidang segera.
Kita faham mengapa mereka terlalu marah. Kekecewaan dan malu kerana kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu mencetuskan dendam kesumat tak habis-habis. Yalah… projek pun hilang!
Lalu titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka segera dijadikan batu loncatan untuk menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan parti yang pernah menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Seperti dikatakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa untuk memulakan sesi sidang Parlimen memerlukan persiapan terlebih dahulu kerana ada peraturan dan tatacara yang perlu dipatuhi.
Pengkritik sebelum ini menggunakan akal yang pendek apabila membuat telahan ‘segera’ sebagaimana yang dinyatakan Yang di-Pertuan Agong itu, adalah esok atau lusa.
Sedangkan kata Wan Junaidi, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen harus bersidang terlebih dahulu untuk mengkaji dan membuat pindaan yang diperlukan agar persidangan dapat memenuhi Perintah Tetap Dewan dan juga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Diperkukuhkan lagi dengan penjelasan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad bahawa pembukaan sidang Parlimen memerlukan pematuhan kepada beberapa peraturan khas sebelum Ahli-Ahli Parlimen boleh bersidang.
“Parlimen adalah badan legaslatif yang paling tertinggi di dalam negara kita, undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen itu mesti dikuatkuasakan, jadi kita tidak mahu kita tidak mengikut peraturan-peraturan dan prosedurnya,” kata beliau.
Jadinya kita yakin Yang di-Pertuan Agong juga mengetahui peraturan-peraturan sebelum sidang Parlimen boleh dibuka. Dan ‘segera’ seperti yang dititahkan itu bukanlah bermaksud esok atau lusa, kerana baginda juga faham keperluan yang mesti dilakukan sebelum Dewan Rakyat dibenar bersidang.
Cuma mereka yang akal pendek sahaja berfikir ‘segera’ bersidang itu maksudnya esok atau lusa boleh bersidang. Yalah, mereka bukan ada kerusi pun di Parlimen, sebab itu tak faham peraturan Dewan.
Dan, bila kerajaan lewat untuk mengadakan ‘segera’ sidang Parlimen, mereka menuduh pula kerajaan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Lihatlah betapa dangkalnya pemikiran kepimpinan Pemuda UMNO sekarang ini. Banyak lagi kes derhaka kepada Raja-Raja Melayu tetapi mereka diam.
Bolehkah negara mengharapkan pemuda sebegini untuk mentadbir negara pada masa depan?
Tok Akhi
p/s: Kasihan juga kita kerana kepimpinan Pemuda UMNO ini hanya faham peraturan dewan serbaguna daerah saja.