Sejak awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksanakan, isu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta salah laku dan rasuah dilakukan dua pemimpin utama Barisan Nasional (BN) dan UMNO, sering diputarkan.
Perikatan Nasional (PN) khusus sering mengingatkan pengundi bangsa Johor berhubung kes yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Apa kaitan kes kedua-dua pemimpin itu dengan PRN Johor? Mereka bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor atau Ahli Parlimen(MP) di Johor?
Benar! Kedua-duanya bukan ADUN atau MP di Johor, tetapi mereka adalah dua pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) serta UMNO di peringkat pusat, yang memberi kata putus ke atas kepimpinan BN/UMNO negeri Johor dan negeri-negeri lain.
Untuk rekod Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, walaupun kerajaan negeri memiliki 29 daripada 56 kerusi yang dibentuk dengan sokongan PN (Bersatu, PAS dan Gerakan) dan BN (UMNO, MCA dan MIC), tidak berdepan sebarang isu, malah pembangkang juga menyatakan sokongan.
Namun, disebabkan keghairahan terhadap kuasa, apa lagi setelah menang besar ketika PRN Melaka, membuatkan pemimpin UMNO di pusat memberi arahan supaya UMNO negeri Johor membubarkan DUN.
Peranan dimainkan Zahid dan Najib atau dikenali sebagai Kluster Mahkamah dalam membubarkan DUN sudah diketahui umum kerana PRN Johor akan menjadi cerminan terhadap keupayaan BN untuk melaksanakan agenda pembubaran Parlimen.
Sudah pasti sekiranya BN/UMNO menang besar di Johor, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan tahun ini juga sebelum penggal Parlimen yang ada sekarang tamat 2023. Dalam erti kata lain, PRU-15 mesti diadakan sebelum semua keputusan mahkamah ke atas kedua-dua – Zahid dan Najib – diputuskan.
Walaupun, Najib telah didapati bersalah dan dihukum penjara serta denda oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, bekas Presiden UMNO itu telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Yang pertama perlu diingatkan ialah kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang dibawa ke mahkamah membabitkan kedua-duanya, dilakukan ketika mereka menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan pada masa sama menjadi Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri.
Semua kes itu dilakukan ketika mereka memimpin kerajaan sebelum 2018 – kerajaan BARISAN NASIONAL – yang menyebabkan Malaysia menempa nama buruk pada peringkat global. Kes 1MDB menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia dan sehingga sekarang masih dibicarakan di Amerika Syarikat.
Percaturan dimainkan Kluster Mahkamah amat mudah. Menang di Johor boleh adakan PRU-15. Dan jika menang PRU-15, Pengerusi BN akan menjadi Perdana Menteri (PM).
Perhatikan bagaimana ketika Najib menjadi PM sebelum PRU-14 lalu. Kes penyelewengan dana 1MDB telah mula didedahkan kepada umum. Bagi menutupnya, beberapa tindakan diambil termasuk menukar Peguam Negara dan agensi penguat kuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan individu yang mengikut arahan mereka.
Kes tertutup, namun, rakyat membuat keputusan berbeza pada PRU-14, dan kini terdedah penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyelewengan dan pengubahan wang haram dilakukan mereka ketika Kerajaan BN memerintah.
Tidak mustahil jika BN/UMNO menang PRU-15 langkah sama tidak akan mereka ambil. Kuasa ada pada mereka untuk menyusun semula barisan Pejabat Peguam Negara, mahkamah dan agensi penguat kuasa, yang akan menurut apa sahaja arahan mereka.
Sebab itu PRN Johor mempunyai kaitan besar dengan kes Kluster Mahkamah. Ini kerana PRN Johor akan menjadi batu loncatan kepada BN/UMNO untuk membebaskan pemimpin mereka daripada semua tuduhan di mahkamah.
Rosak lah lagi negara jika Zahid dan Najib dibenar kembali berkuasa di Malaysia. Sebab itu, hukuman pertama ke atas kedua-duanya mesti dilakukan oleh bangsa Johor yang bermaruah dan kuat dengan pegangan agama Islam, menerusi PRN Johor.
Sebab itu Bangsa Johor pada 12 Mac ini bertanggungjawab untuk menyekat kerosakan yang lebih besar yang bakal melanda negara sekiranya dibiarkan BN/UMNO memerintah.
Bangsa Johor mesti menolak habis-habisan BN/UMNO, sebaliknya memberi sokongan kepada parti lain, khususnya Perikatan Nasional, yang dilihat lebih berwibawa, berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.
Perikatan Nasional di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang menunjukkan bukti keprihatinan kerajaan apabila menghapuskan hutang peneroka Felda di seluruh negara sebanyak RM8.3 bilion.
Yang paling utama ialah calon-calon Perikatan Nasional telah mengangkat sumpah bersaksikan Allah untuk menolak rasuah, sedangkan calon parti lain takut untuk berbuat demikian, apalagi calon UMNO tidak sanggup mengangkat sumpah menolak rasuah depan pemimpin mereka yang sedang berdepan tuduhan rasuah.
Maknanya, BN/UMNO tidak menjadikan rasuah sebagai agenda yang mesti dihapuskan. Maknanya, jika mereka menang, maka rasuah akan berlaku, termasuk rasuah dalam membebaskan Kluster Mahkamah.
Ayuh Bangsa Johor! Anda punya maruah.
Jangan biar negeri-negeri lain menghina anda sebagai bangsa penyokong perasuah. Anda boleh buktikan kepada negeri lain bahawa anda adalah hakim yang menghukum perasuah dan mereka yang menyalahgunakan kuasa.
Anda boleh menjadi penyelamat kepada Malaysia daripada malapetaka lebih besar yang dibawa oleh BN/UMNO.
Tok Akhi
Pemerhati politik kampung
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.