
Datuk Seri Najib Razak banyak membantu UMNO dan Barisan Nasional menang PRN Melaka dan Johor, tetapi masih tidak dapat membayar kompaun RM5,000 kerana melanggar SOP Covid-19.
Kasihan Datuk Seri Najib Razak masih belum membayar kompaun yang dikenakan kepadanya walaupun telah membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
PRN Johor sudah berlalu 10 hari dan kerajaan negeri Johor juga sudah tertubuh dengan penguasaan besar 40 kerusi BN daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, dengan ramai juga calon hilang deposit RM5,000.
Kadar kompaun dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan ialah RM1,000 tetapi bekas Perdana Menteri keenam itu masih tidak membayar lima saman yang dikenakan kepadanya.
Sebagaimana disebut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Najib belum membayar satu lagi kompaun yang dikenakan KKM terhadapnya. Berita berkaitan
Empat lagi kompaun turut dihantar melalui surat berdaftar ke rumah agamnya. Ini bermakna Najib perlu membayar keseluruhannya lima kompaun bernilai RM5,000.
Mungkin ‘kacang’ sahaja bagi Najib untuk membayar nilai kompaun itu, tetapi dalam keadaan beliau hanya dibenar oleh Mahkamah Tinggi untuk membelanjakan RM100,000 sebulan daripada simpanan dan asetnya, tentu sedikit membebankan beliau berbanding orang biasa lain.
Lagi pula, Agenda Daily pernah menyiarkan berita mengenai Najib mengalami kemurungan dan berharap Kerajaan Perikatan (PN) memberinya moratorium serta diskaun bil elektrik, sebagaimana diakuinya pada Jun tahun lalu. Berita berkaitan
‘Kemurungan’ yang melanda beliau itu turut diterjemahkan menerusi satu hantaran di Facebooknya seolah mengharapkan kerajaan memberi moratorium dan diskaun elektrik.
Meskipun umum mengetahui kekayaan dan kemewahan beliau bukan sedikit, namun menerusi perkongsian di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu merintih syahdu mengharapkan belas ihsan kerajaan membantu. Berita berkaitan
Pada 14 Jun lalu Najib menerusi laman Facebooknya mengulas mengenai PKP berulang kali, moratorium automatik, diskaun bil elektrik, i-Sinar dan i-Lestari.
Ulasan dengan dimuat naik gambar beliau yang kelihatan murung itu dibuat pada hari sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan notis kebankrapan RM1.69 bilion terhadap beliau.
Kini, kita bimbang bekas Presiden UMNO yang terlibat dengan skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan berbilion-bilion ringgit, tidak cukup wang untuk membayar kompaun kerana melanggar SOP Covid-19.
Dan, ketika wakil rakyat UMNO serta BN di Johor dan Melaka bergembira setelah masing-masing menang dan bergelar Yang Berhormat, apa salahnya menghulurkan sedikit bantuan untuk membayar kompaun yang dikenakan terhadap Najib.
Sekurang-kurangnya Najib akan berasa dihargai juga setelah bermandi peluh mempertaruhkan harga dirinya yang dikatakan ‘memalukan negara’ dalam kes SRC itu, untuk membantu kemenangan YB-YB UMNO dan BN semua.
Atau, jika YB-YB itu ‘kedekut’ untuk membantu Najib, kita berharap Khairy atau KKM dapat memberi peluang kepada Najib untuk membayar sedikit demi sedikit, supaya bekas Perdana Menteri yang juga ‘bossku UMNO’ itu tidak terbeban.
Sudahlah permohonannya untuk memiliki hartanah bernilai jutaan ringgit ditolak, kini UMNO dan BN sendiri pun tidak mahu menolongnya pula.
Jasa Najib patut juga dikenang walaupun kita tidak boleh lupa skandal-skandal kewangan yang telah mencemarkan nama baik Malaysia. Kan?
Tok Akhi
Pemerhati politik kampung
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.