
Gambar hiasan IStock/Getty.
Desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin meluas, menular ibarat kes Covid-19 yang belum menunjukan tanda-tanda akan berakhir walaupun, negara kini berada dalam gelombang pasang surut jangkitan.
Selepas isu PRN itu dibangkitkan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad empat hari setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu, ianya semakin hangat sekarang ini.
Malah, dikatakan Hasni akan menghadap Sultan Johor untuk meminta perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Keghairahan UMNO Johor untuk mengadakan PRN juga bukan sahaja susulan kemenangan besar parti itu pada PRN Melaka, tetapi dilaporkan mendapat restu Majlis Tertinggi (MT) parti, dengan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan UMNO sudah ‘bersiap sedia’.
Johor mempunyai 56 kerusi DUN di mana 16 daripadanya diwakili Barisan Nasional (BN), diikuti 12 ADUN Perikatan Nasional (PN – 11 Bersatu dan satu PAS); dan 27 ADUN Pakatan Harapan (PH – 11 DAP, sembilan Amanah, dan empat PKR), manakala satu kerusi kosong.
Kematian Osman menyebabkan kerajaan negeri diterajui UMNO dan disokong PN, kini mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN – 28 kerajaan, 27 pembangkang.
Untuk rekod, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pernah mengingatkan ADUN negeri itu supaya tidak menjadikan DUN sebagai medan perbalahan politik dan berebut kuasa.
Sebaliknya, baginda bertitah supaya semua 56 ADUN Johor bekerjasama untuk terus membantu rakyat yang dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19.
“Ini bukan masa untuk berbalah, tetapi untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya orang lain apa yang sudah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihat dan cermin muka sendiri. Ingin saya ingatkan DUN ini tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.
“Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk.
“Suka saya ingatkan yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu gugat negeri dan kerajaan saya.
“Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor. Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri bukannya kepentingan rakyat,” titah baginda.
Dalam bab untuk mengadakan PRN itu, tidakkah BN khususnya UMNO terfikir bahawa langkah berkenaan hanya akan menyusahkan rakyat, mendedahkan pengundi kepada kemungkinan dijangkiti Covid-19, khususnya Omicron yang telah disahkan menjadi varian paling cepat menular dan menjangkiti?
Sebelum ini, tidak ada kedengaran pun ADUN daripada PN akan menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Hasni, cuma UMNO sahaja yang tidak puas hati kerana terpaksa berkongsi kuasa dengan parti yang mereka tidak suka, disebabkan alasan peribadi pemimpin tertingginya.
UMNO mahu membalas dendam kepada Bersatu yang turut menjatuhkan parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu ketika menjadi sebahagian daripada PH, dan kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Johor.
Tetapi, kena ingat, BN dan UMNO tumbang ketika itu disebabkan perbuatan pemimpin tertingginya yang terpalit dengan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia, hingga hakim Mahkamah Rayuan sendiri mengatakan perbuatan itu memalukan negara.
UMNO sekarang ini mendakwa isu-isu yang dimainkan ketika kempen PRU14 lalu adalah fitnah. Adakah semua kes yang dibawa ke mahkamah sekarang ini – dan telah ada pun yang dijatuhi hukuman penjara – adalah fitnah?
Sekarang ini penggal pentadbiran kerajaan sedia ada akan tamat pada 2023, hanya setahun lebih sahaja lagi. Tetapi, itulah hakikatnya UMNO yang penulis sertai sejak tahun 70-an lagi.
Terfikir juga, BN sekarang ini mempunyai 16 ADUN. Tetapi 39 kerusi lagi bukan BN. Sekiranya BN bertemu Sultan Johor untuk mendapatkan perkenan membubarkan DUN, adakah baginda akan memanggil semua ADUN untuk mendapatkan maklum balas dan menyatakan sokongan bagi membentuk kerajaan baharu ataupun membubarkan DUN?
Walaupun Sultan Ibrahim mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan DUN, namun sehingga kini 39 ADUN bukan BN tetap memberi sokongan kepada Hasni untuk menerajui Johor hingga habis penggal pada 2023, dan menolak diadakan PRN.
Pernah berlaku pada peringkat Kerajaan Pusat apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, Istana Negara telah memanggil Ahli Parlimen untuk meminta cadangan pembentukan kerajaan baharu serta sokongan kepada salah seorang daripadanya yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
Apakah ini juga akan berlaku di Johor sekiranya BN dan Hasni meminta Sultan Johor membubarkan DUN?
Jika Kerajaan Pusat pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan pembangkang, tidakkah PN dan PH Johor boleh mengadakan perjanjian sama sekiranya Sultan menolak pembubaran DUN?
Adakah UMNO akan ingat kepada pesanan baginda Sultan supaya tidak menyusahkan hidup rakyat?
Atau, merekalah yang akan duduk di dalam ‘sangkar beruk’ sebagaimana disebut Sultan Ibrahim Iskandar?
Tok Akhi
Penganalisis politik kampung
p/s: Kepada yang dibencinya dikatakan ‘separuh masak’. Kepada yang disokong dia kata “dugaan hidup”.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.