
Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
UMNO membuat pendirian tidak akan bertanding solo dalam pilihan raya dan kekal bersama Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Pendirian tidak bertanding solo itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO tersebut susulan gesaan akar umbi yang mahu parti itu bertanding solo seperti dalam pilihan raya sebelum ini, namun Majlis Tertinggi (MT) menolaknya.
“Keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO mengenai keberadaan kita dalam kerajaan,” katanya dipetik laporan BH.
Malam tadi, UMNO mengadakan mesyuarat MT.
Jelasnya lagi, tidak timbul sebarang isu berkaitan UMNO perlu bergerak solo dalam pentadbiran negara.
Sementara itu, Asyraf Wajdi juga berkata, mesyuarat tidak membincangkan isu menyentuh Ahli MT, Isham Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Katanya, isu membabitkan pemecatan beberapa ahli UMNO tidak dibangkitkan dalam mesyuarat malam ini, sebaliknya tertumpu kepada usaha memperkasakan parti itu.
“Isham tidak hadir mesyuarat, jadi tiada apa-apa isu yang dibangkitkan oleh beliau,” katanya.
Kelmarin, Isham dalam kenyataan di Facebook mendakwa ada beberapa ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat berkenaan termasuk dirinya.
Beliau mendakwa ia susulan kelantangan mereka mengkritik keputusan pimpinan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) menyertai pilihan raya.
Muhammad Jailani pula dikatakan berdepan tindakan kerana menghadiri majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajid berkata, mesyuarat malam ini turut membincangkan langkah memperkukuh hubungan kerjasama UMNO dengan rakan parti komponen dalam PH di semua peringkat termasuk negeri dan bahagian seluruh negara.
Katanya, ia bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui kerajaan campuran seperti ketetapan MT UMNO pada 23 November 2022 serta diabsahkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 10 Jun lalu.