Tiada isu undi percaya disentuh dalam titah Agong

Isu undi percaya yang dibangkitkan blok pembangkang tidak disentuh dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa pembukaan persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini.

Tuanku bagaimanapun menegaskan supaya semua pihak supaya memberi fokus ke arah menangani cabaran krisis kesihatan Covid-19 yang melanda negara kerana rakyat sudah ramai yang kehilangan punca pendapatan dan negara berdepan kemurungan ekonomi.

“Negara dan rakyat Beta telah terlalu lama di-belenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini, terlalu ramai juga rakyat beta yang telah kehilangan sumber rezeki. Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” kata Baginda.

Mengambilkira keadaan tersebut, Tuanku menggesa supaya semua Ahli-ahli Parlimen tidak meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Nasihat Beta kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan sama-sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” ujarnya lagi.

Tuanku juga menyeru agar semua pihak berhenti daripada berterusan bertelagah dan menyeru mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain.

“Beta menyeru agar sebarang bibit-bibit pertelingkahan hendaklah segera dihenti-kan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu,” katanya lagi.

Sidang kali ini merupakan yang pertama sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin yang meletak jawatan.

Ismail Sabri dilantik PM ke sembilan selepas mendapat 114 majoriti sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun, blok pembangkang yang diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini paling lantang mendesak supaya Ismail Sabri mengabsahkan kedudukannya sebagai PM di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR