
Ahmad Fadhli Shaari.
Kerajaan digesa tidak mengambil tindakan terhadap guru terlibat dalam penganjuran Minggu Solidariti Palestin yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kenyataan seorang Menteri DAP, Nga Kor Ming yang mahu tindakan diambil terhadap guru sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kerana penganjuran program tersebut atas alasan terdapat unsur keganasan.
Katanya, program itu digambarkan sebagai kononnya apabila anak-anak membawa senjata mainan, itu bermakna mengajar mereka erti keganasan sedangkan ia merupakan satu kaedah untuk mengajar mereka mengenai perjuangan yang sedang ditegakkan di bumi Palestin.
“Hari ini viral pula satu posting di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) Pandamaran B pada 20 Oktober yang memaparkan murid-murid sekolah itu dipaparkan dalam ruang media sosial membawa senjata mainan.
“Saya tak nak tunjuk (video) dalam sidang media ini kerana ia membabitkan anak-anak kita. Walaupun bukan anak Melayu, tetapi paling tidak ia merupakan anak-anak yang perlu dipelihara privasi mereka,” katanya ketika sidang media semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, jika pihak yang terlibat dengan Minggu Solidariti Palestin dianggap sebagai ganas, bagaimana pula mereka yang membawa senjata mainan dalam bentuk adiwira komik.
“Jika itu dianggap sebagai tidak mengapa, ini merupakan pandangan yang berat sebelah,” katanya.
Sehubungan itu, Perikatan Nasional (PN) menuntut supaya guru sekolah yang terlibat dalam penganjuran Minggu Solidariti Palestin tidak dikenakan tindakan.
“Jangan sekali kali diambil tindakan. Kalau mereka dikenakan tindakan, kita akan menyatakan pendirian kita dan akan mengajak seluruh masyarakat Malaysia untuk sama-sama bersolidariti dengan pengurusan sekolah yang menganjurkan program itu,” katanya.
Media baru-baru ini, melaporkan video berdurasi 55 saat menimbulkan kontroversi apabila ada ‘adegan’ lelaki mengacu senapang mainan ke arah pelajar sambil mengetuai sekumpulan guru mengibarkan bendera Palestin di perhimpunan solidariti.
Rakaman itu menyebabkan beberapa pihak, termasuk Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula kesesuaian program itu di sekolah.
Selain PAGE, DAP turut menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang terbabit dalam program solidariti Palestin di sebuah sekolah rendah selepas murid dan guru dilaporkan membawa senapang mainan.