
Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan sudah menghantar surat tuntutan saman Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi peguamnya.
Amirudin sebelum ini juga berkata mahu menyaman Menteri Besar Kedah selepas Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan turut mengambil tindakan sama susulan pendedahan isu skandal tanah di negeri Selangor baru-baru ini.
Surat tuntutan itu adalah tindakan susulan atas dakwaan fitnah yang disampaikan Menteri Besar Kedah itu dalam satu ucapannya di Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.
“Datuk Seri Sanusi telah memfitnah, antara lain, bahawa saya memberikan tanah negeri secara percuma kepada syarikat swasta.
“Dalam surat yang disampaikan tadi, saya menuntut supaya beliau dalam tempoh 48 jam menarik balik dan minta maaf atas kenyataan fitnah beliau.
“Menjamin bahawa fitnah itu tidak diulang, membayar ganti rugi RM10 juta atas tindakan memfitnah dan mengeluarkan berita palsu yang menjejaskan institusi Dato’ Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri Selangor.
“Namun begitu, jika Datuk Seri Sanusi gagal berbuat demikian, saya terpaksa meneruskan dengan tindakan undang-undang menerusi proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan mengenai pendedahan Sanusi berhubung skandal tanah yang didakwa berlaku membabitkan Amirudin dengan Vincent di Selangor.