Saya tak lari, sudah maklum SPRM tarikh balik Malaysia : Menantu Muhyiddin

August 9, 2023 · Politik

Menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan menegaskan beliau tidak melarikan diri daripada pihak berkuasa sebaliknya akan kembali ke tanah air untuk membantu siasatan selepas selesai segala urusannya, lapor BH.

Muhammad Adlan menerusi peguamnya, Datuk Baljit Singh Sidhu memaklumkan beliau meninggalkan Malaysia secara sah dan tidak pernah ditangkap atau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam itu mendedahkan, Muhammad Adlan pernah dihubungi pegawai SPRM dan telah menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun dengan memaklumkan beliau ke luar negara dan akan kembali selepas urusannya selesai.

Malah beliau turut memberikan tarikh kembali ke tanah air kepada SPRM.

Menurut Baljit, anak guamnya terkesan dengan tindakan SPRM ‘memburu’ dan menuding jari terhadapnya.

Katanya, sehingga kini Muhammad Adlan tidak menerima jawapan rasmi daripada SPRM.

“Anak guam kami secara mutlak menyatakan beliau tidak bersalah dan berhak untuk tidak dibicarakan di ‘mahkamah umum’ oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Beliau bersedia membantu sebarang siasatan dan percaya kepada proses kehakiman tetapi pada masa ia perlu melindungi hak dan kebebasannya mengikut undang-undang.

“Anak guam kami menyatakan bahawa beliau pasti akan pulang ke Malaysia secepat mungkin untuk menjawab semua persoalan dan membantu SPRM dalam sebarang siasatan selagi mana tiada unsur ancaman dan penganiayaan terhadapnya.

“Anak guam kami juga ingin menegaskan bahawa beliau tidak akan teragak-agak memulakan tindakan yang perlu untuk melindungi, memelihara dan membela haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan firma, Shukor Baljit & Partners, hari ini.

Kenyataan media SPRM pada 7 Ogos lalu, menyatakan agensi anti rasuah itu sedang mengesan Muhammad Adlan, 48 dan peguam, Mansoor Saat, 69 bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Dalam kenyataan itu, Baljit menyifatkan kenyataan media SPRM meminta bantuan untuk mengesan Muhammad Adlan itu sama sekali tida perlu susulan tarikh anak guamnya itu kembali ke tanah air sudah dimaklumkan melalui surat kepada agensi itu pada 3 Jun lalu.

Pihaknya melihat kenyataan media SPRM itu sebagai percubaan untuk memburuk dan mengaibkan anak guamnya.

Beliau berkata, anak guamnya juga terkejut apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas mengenai isu berkenaan yang menunjukkan terdapat plot yang sedang berlaku.

Baljit berkata, Muhammad Adlan seperti warga negara lain berhak untuk bergerak termasuk ke luar negara, lebih-lebih lagi untuk menjalankan perniagaannya di mana-mana dan tidak boleh ditafsirkan atau disalahtafsirkan sebagai percubaan mengelak atau menghalang siasatan.

Katanya, Muhammad Adlan dalam surat kepada SPRM juga menekankan tindakan diambil agensi itu dalam siasatan terbabit juga dilihat di luar kebiasaan termasuk akaun syarikatnya dan peribadi dibekukan tanpa notis dan sebab; selain beliau diganggu tanpa henti oleh pegawai SPRM.

Katanya, ahli perniagaan itu mendakwa beliau diugut untuk digambarkan sebagai pelarian melalui siaran media, namanya diletakkan di bawah notis merah Interpol, ditangkap dan ditahan sebaik tiba di Malaysia dan dikenakan larangan perjalanan ke atasnya.

Peguam itu berkata, Muhammad Adlan menafikan sekeras-kerasnya beliau tidak boleh dihubungi dan menyatakan sedang berkomunikasi dengan pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan.

Baljit berkata, lelaki itu menyatakan bersedia untuk bekerjasama dalam mana-mana siasatan seperti yang dikehendaki mengikut undang-undang tetapi tidak akan menerima sebarang ancaman terhadapnya dan keluarganya.

Menurut peguam itu, apa yang berlaku terhadap anak guamnya membuktikan bahawa siasatan tidak dijalankan secara objektif mengikut undang-undang dan mengancam kebebasan anak guamnya yang dilindungi oleh Perlembagaan.

“Anak guam kami menyatakan beliau menjadi sasaran secara tidak sah dan menyebabkannya menderita dan berada di ambang kehancuran dari segi kewangan. Reputasinya pula terjejas teruk dan secara peribadi beliau mengalami penderitaan mental dan trauma manakala keluarganya terus menderita.

“Anak guam kami menyatakan bahawa beliau bukan ahli politik dan terkejut dengan sebarang percubaan untuk menggunakannya sebagai alat untuk ‘loncatan politik’ oleh sesiapa sahaja.

“Dia bukan sasaran untuk digunakan atau menghukum mana-mana ahli politik. Bagi anak guam kami, kenyataan akhbar yang begitu hampir dengan tarikh pilihan raya negeri menunjukkan terdapat unsur politik dalam perkara ini,” katanya.

Berita berkaitan
Zahid umum peruntukan semasa PRN tidak pula dianggap rasuah? soal Ahmad Fadhli
September 29, 2023· Politik
Rasuah kereta mewah pegawai kanan di kementerian, seorang pemilik syarikat ditahan: Laporan
September 27, 2023· Isu semasa
SPRM sudah rekod kenyataan saya minggu lepas, Sanusi sahkan
September 25, 2023· Politik
Peguam Bersatu dakwa PMX sasarkan MP Putrajaya secara sistematik selepas dikecam
September 25, 2023· Politik
Popular
Puad sindir Rafizi gagal tawar formula luar biasa
September 29, 2023
Bukan Rafizi saja salah tapi PMX juga gagal memimpin negara, kata Tun Faisal kepada Puad
September 29, 2023
Penyandang jawatan ’Top 5’ kekal, tiada pertandingan pada Muktamar PAS: Takiyuddin
September 29, 2023
Kerusi presiden PAS dan timbalan dipertanding, bukan macam UMNO
January 10, 2023
Lagi Politik terkini
UMNO tanding PRK Kemaman jika diadakan, kata Zahid yakin rakyat sokong
5 minit lalu · Politik
Bukan Rafizi saja salah tapi PMX juga gagal memimpin negara, kata Tun Faisal kepada Puad
September 29, 2023 · Politik
Puad sindir Rafizi gagal tawar formula luar biasa
September 29, 2023 · Politik
Penyandang jawatan ’Top 5’ kekal, tiada pertandingan pada Muktamar PAS: Takiyuddin
September 29, 2023 · Politik
MP DAP sudah diambil keterangan berhubung video tafsir al-Quran: Ayob Khan
September 29, 2023 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tak wajar polis pantau PN setiap jam, ganggu kempen calon
3 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan Menteri jejas pelancongan, boleh ke Langkawi pakai seluar pendek
September 27, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok