
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.
Kerajaan campuran perlu segera mencari langkah segera untuk menangani isu kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat seluruh negara ketika ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.
Andasura mempersoalkan kerajaan campuran yang lebih kerap mengadakan jualan murah di Pelangai, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika ini yang dilihat lebih bermotifkan politik semata-mata.
“Kenapa pula siri jualan murah barangan keperluan begitu ditumpukan di DUN Pelangai sekarang ini?
“Jualan Rahmah, Jualan Makmur diadakan dari satu kawasan ke satu kawasan selang beberapa hari. Adakah ia betul-betul kerana rasa prihatin kepada rakyat yang kian terbeban dengan kos sara hidup atau strategi memancing undi?” katanya dalam satu kenyataan dipetik dalam portal Harakah Daily.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata sepatutnya kerajaan mencari jalan yang lebih holistik dan tidak memilih kawasan tertentu sahaja demi kepentingan politik.
“Kalau kerajaan betul-betul prihatin kepada rakyat, pastikan bekalan beras dan barangan keperluan lain mencukupi dan tersedia di pasaran. Pastikan seluruh lapisan masyarakat ada akses.
“Bukan hanya di kanopi-kanopi Jualan Rahmah di sesetengah tempat, untuk hanya sebilangan ahli masyarakat. Bukan meminta rakyat beratur, berebut mendapatkannya. Bukan siapa cepat dia dapat,” ujarnya lagi.
Beliau juga membidas kerajaan campuran yang menekan pemimpin pembangkang dengan menyekat peruntukan sehingga rakyat di kawasan tidak lagi mendapat bantuan.
“Kira-kira dua tahun, lebih 200 keluarga seluruh DUN Beserah dapat manfaat daripada program (bakul asnaf) ini. Kami belanjakan sekitar RM10,000 ke RM12,000 sebulan untuk biayai program ini.
“Sekarang terpaksa dihentikan. Dah hampir setahun. Kenapa? Peruntukan dihentikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO. Kos program pula makin tinggi sebab harga barang makin naik.
“Di kawasan-kawasan yang PH-UMNO kalah, mereka lantik Penyelaras DUN di kalangan orang-orang mereka. Peruntukan yang sepatutnya disalur kepada ADUN pembangkang dialih kepada para Penyelaras DUN lantikan mereka ini.
“Ke mana mereka belanjakan peruntukan tersebut?” katanya.