Rangkuman Parlimen: Tiada undi percaya, Anwar dulu ‘terhina’ kini setaraf menteri

October 13, 2021 · Politik

Hari ini berakhir Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bersidang selama 17 hari yang menyaksikan blok pembangkang hilang taring selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

Sidang kali ini adalah kali pertama bagi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tiada usul undi percaya didesak pembangkang seperti yang dilakukan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga menyebabkan peletakan jawatannya 16 Ogos lalu.

Pembangkang juga tidak banyak membahaskan berhubung usul undi percaya di Parlimen kali ini, bahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga nampaknya sudah tunduk kepada kerajaan yang dipimpin UMNO.

Paling menjadi tumpuan, Anwar yang dahulunya menolak tawaran sama Muhyiddin atas alasan kononnya ‘terhina’ tetapi terpaksa menjilat ludahnya sendiri dengan menerima tawaran Ismail Sabri, ia mungkin disebabkan rasa malu selepas gagal menjadi PM kerana tiada majoriti.

Kenaikkan status tersebut memberi manfaat banyak kepada Presiden PKR itu, antaranya dapat menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat menteri dan juga beberapa elaun-elaun lain.

Jadi, sekurang-kurangnya terubat kekecewaan Anwar gagal menjadi PM apabila ditipu oleh anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, turut menjadi tumpuan pastinya berhubung isu penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang dikritik hebat pembangkang semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tetapi diluluskan pula secara sebulat suara pada sidang kali ini.

Pembangkang yang dahulunya menentang penggunaan dana itu juga akhirnya bersetuju bahawa langkah diambil mantan PM, Muhyiddin dengan meluluskan penggunaan dana KWAN adalah tepat bagi memastikan bekalan vaksin negara mencukupi.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) KWAN (Pindaan 2021) secara sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.

Bagaimanapun, sidang Dewan Rakyat kali ini gagal melantik Timbalan Speaker baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen (MP) Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan semasa kemelut politik sebelum ini.

Ismail Sabri pada mulanya mencalonkan nama MP Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang diketahui umum antara salah seorang kluster mahkamah dan berada dalam kumpulan 15 MP yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin, namun cadangan tersebut tidak dibawa ke Dewan Rakyat kali ini kerana tidak mendapat sokongan majoriti MP Bersatu.

Jika langkah tersebut diteruskan juga, ia mungkin mengakibatkan satu kemaluan besar kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri sekiranya kalah dalam pengundian.

Ketiadaan Timbalan Speaker pada sidang kali ini juga menyaksikan keadaan kelam-kabut terhadap perjalanan sidang dewan, malah Azalina juga beberapa kali terpaksa mengambil tugas menjadi Timbalan Speaker sementara.

Berkemungkinan jawatan tersebut hanya akan dapat diisi pada sidang depan nanti.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini juga menyaksikan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu rancangan pembangunan negara bagi tempoh 2021-2025 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan selama empat hari mulai 28 Sept oleh 106 Ahli Parlimen, disusuli penggulungan 27 kementerian terlibat.

RMK12 dibentangkan Ismail Sabri pada 27 Sept lepas bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19.

Sebelum itu, Dewan Rakyat meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada 13 Sept, selepas 91 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Persidangan kali ini turut menyaksikan tiga rang undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan yang diumumkan kerajaan sejak awal tahun ini.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang KWAN (Pindaan) 2021, Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, usul berkaitan peruntukan perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) dan usul perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).

Pada permulaan sidang hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan usul bagi membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-Ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan akan datang.

Wan Junaidi dalam kenyataan berasingan pula berkata keputusan itu dibuat oleh Ismail Sabri berikutan permintaan pemimpin pembangkang untuk menangguhkan pembentangan usul tersebut.

Permohonan itu dibuat bertujuan untuk memberi lebih banyak masa untuk usul itu dibahaskan oleh ahli parlimen sebelum meluluskannya, menurut kenyataan Wan Junaidi.

Menurut laman rasmi Parlimen, Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat selama 32 hari akan bermula pada 25 Oktober dengan tumpuan adalah pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 pada 29 Oktober, belanjawan pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Berita berkaitan
Rosmah disaman 1MDB AS$346 juta, tuntut pulangkan barang mewah
18 jam lalu· Isu semasa
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024· Isu semasa
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024· Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Popular
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024
Diugut tindakan saman pengikut Najib, MB Kedah kata ‘dia punya pasal’
April 29, 2022
Selesai kos sara hidup, bukan tak perlu tampal roadtax: Muhyiddin
February 11, 2023
PN akan pastikan nilai ringgit kukuh jika jadi kerajaan, kata Muhyiddin
November 7, 2022
Lagi Politik terkini
Bawa kad pengenalan, SPR ingatkan pengundi di PRK KKB
17 jam lalu · Politik
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok