Memandangkan lambang Pakatan Harapan (PH) tidak laku di Sarawak, DAP mengambil keputusan menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang rasmi gabungan pembangkang itu.
Keputusan menggunakan lambang DAP di Sarawak diputuskan Pengerusi negerinya, Chong Chieng Jen dengan memberi alasan langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi di negeri ini kerana mereka telah biasa dengan logo roket.
“Saya rasa pengundi Sarawak telah biasa dengan logo roket, jadi saya tidak rasa akan ada sebarang kekeliruan,” katanya dipetik laporan Bernama.
Sementara itu, Chieng Jen berkata, DAP akan bertanding bagi mempertahankan enam kerusi di Sarawak yang telah mereka menang pada PRU14, dan cuba untuk memenangi lebih lagi.
Kerusi-kerusi terbabit adalah Mas Gading, Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sibu dan Sarikei.
“Kami akan mempertahankan enam kerusi dan bertanding di dua lagi kerusi yang kami belum menang, iaitu Serian dan Bintulu,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh mengundi, manakala penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.