
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerajaan PH-BN.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta pengundi Melayu mengundi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Beliau mendakwa data itu diperoleh daripada analisis pasukan saintis yang diwujudkan PH yang turut mendapati gabungan undi diperoleh semua parti dalam kerajaan PH-BN menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan dalam PRU-15.
Menurutnya dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan gabungan itu ditolak masyarakat Melayu, selain dakwaan mengatakan PH hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.
“Bila kita buat satu pasukan data saintis yang membuat analisis, kita dapat lihat dalam data awal bahawa sebenarnya tidak benar (dakwaan) yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dukungan Melayu.
“Kalau 19 peratus sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat jumlah kerusi seperti mana yang dicatat dalam PRU-15.
“Secara keseluruhannya, undi diperoleh PH ialah 31 peratus pengundi Melayu. Ada yang rendah seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan jumlah dua pertiga undi diperoleh semua parti dalam kerajaan PH-BN membuktikan kekuatan dan kestabilan pentadbirannya.
“Kalau dikumpul kekuatan sekarang ini membabitkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain yang bersama, itu sudah mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU-15.
“Kalau itu keadaannya, maka dengan dua pertiga Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU-15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.
“Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan,” katanya.