
Sidang media penganjuran 'Himpunan Selamatkan Malaysia' baru-baru ini oleh pemimpin pemuda Perikatan Nasional.
Dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berdepan siasatan pihak berkuasa ekoran rancangan penganjuran ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang dijadual berlangsung di sekitar pusat beli belah Sogo pada Sabtu ini.
Himpunan tersebut dirancang bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan campuran yang menghentikan perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut laporan media, Polis Kuala Lumpur menerima enam laporan berhubung penganjuran himpunan tersebut.
Susulan itu, enam kertas siasatan dibuka berkaitan penganjuran perhimpunan yang dirancang pada Hari Malaysia, 16 September itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Katanya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.
“Pihak polis belum menerima notis pemakluman perhimpunan berkenaan,” katanya dipetik laporan BH.
Allaudeen berkata, pihak polis perlu dimaklumkan lebih awal mengenai rancangan mengadakan perhimpunan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, penganjur perlu memberi notis pemakluman kepada polis selain mendapat kebenaran daripada pemilik tempat lokasi perhimpunan.
Bagi perhimpunan ini, penganjur perlu memohon kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pemilik kawasan lokasi perhimpunan diadakan seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan, dilaporkan berkata, proses pemakluman kepada polis dan mendapatkan kebenaran berkemungkinan mengambil masa antara empat hingga lima hari.