
Perikatan Nasional (PN)-PAS berjaya mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan dengan memenangi 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengesahkan kemenangan itu di pekarangan Pejabat Perhubungan PAS di Kota Bharu, sebentar tadi.
“Alhamdulillah kita menang di 43 kerusi DUN, manakala dua kerusi lagi dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) iaitu DUN Galas dan Kota Lama.
“Alhamdulillah untuk kemenangan ini dan kita terus dapat membentuk kerajaan. Pada masa sama kita berterima kasih kepada semua jentera yang bekerja keras sepanjang pilihan raya.
“Kita juga berterima kasih kepada seluruh rakyat Kelantan yang memberi kepercayaan kepada PAS untuk terus mentadbir Kelantan,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad turut memohon kemaafan kepada semua pihak sekiranya berlaku perkara yang tidak disenangi sepanjang proses berkempen.