
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Perikatan Nasional (PN) menang bergaya di Kedah apabila menyapu 33 daripada 36 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN), kali ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sambil mengucapkan penghargaan atas sokongan diberikan oleh rakyat Kedah.
“Saya tentulah menjadi orang yang paling gembira kerana 33-3 itu adalah bukti bahawa perjuangan selama tiga tahun mengemudi Kerajaan Negeri Kedah ini telah difahami dan disambut oleh seluruh rakyat negeri Kedah. Terima kasih.
“Terima kasih yang besar kepada anak-anak Kedah di perantauan yang pulang dari seluruh dunia membantu kita di negeri ini meneruskan perjuangan di negeri ini. Allah jugalah yang akan membalas jasa tuan-tuan…Mengorbankan banyak masa dan wang ringgit untuk pulang,” katanya pada sidang media di Kedah, lewat malam tadi.
Tiga kerusi yang dimenangi PH – Kota Darul Aman (PH-DAP), Bakar Arang (PH-PKR) dan juga Sidam (PH-PKR).
Sebelum ini, Muhammad Sanusi turut mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad 13 Ogos 2023 sempena kemenangan PN di Kedah.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menang bergaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 16,050.
Beliau memperoleh 21,823 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat sebanyak 5,773 undi.