PKR sebuah parti bermasalah: Wira WARISAN

Timbalan Ketua Wira WARISAN Sabah, Mohd Ismail Ayob

Wira WARISAN Sabah melihat pencalonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri (PM) adalah bukti mereka masih terperangkap dalam politik lapuk yang dikawal oleh kumpulan elit.

Timbalan Ketua Wira WARISAN Sabah, Mohd Ismail Ayob berkata PKR merupakan sebuah parti yang bermasalah apabila Anwar gagal mengawal partinya, malah lebih teruk lagi mereka tidak mempunyai kekuatan di Sabah.

“PKR bukan sahaja perlu memperbaiki rumah sendiri agar pemimpin-pemimpin mereka setia kepada parti, malah mereka perlu sedar bahawa parti itu tidak mempunyai kekuatan di Sabah.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mereka meminta untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya mendapat tujuh kerusi dan cuma mampu menang dua daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail juga mengkritik pencalonan Anwar tersebut sebagai bukti gabungan pembangkang di Semenanjung masih gagal mengorak ke depan apabila masih lagi berada pada takuk lama dengan kebergantungan kepada Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad semata-mata.

“Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menegaskan politik negara perlu matang ‘beyond Anwar-Mahathir’ dalam pilihan raya umun akan datang demi kepentingan rakyat,” ujarnya lagi.

Menurutnya, pendirian WARISAN adalah jelas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti yakni tidak menyertai Pakatan Harapan dan kerjasama selama ini hanya dijalin atas kepentingan negara.

“Datuk Shafie juga telah menyatakan bahawa kerjasama WARISAN dalam PRU 15 ialah minus PH, malah selepas pilihan raya umun 2018, WARISAN tidak pernah menyertai PH sebaliknya cuma menjalin kerjasama demi kepentingan negara.

“Jadi tidak timbul persoalan WARISAN perlu membincangkan kerjasama dengan PH kerana pendirian parti sudah jelas dinyatakan oleh Presiden WARISAN,” katanya lagi.