
Sidang Dewan Rakyat.
Perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini tergendala sebentar selepas kurang daripada 26 Ahli Parlimen berada dalam Dewan Rakyat.
Terdahulu, MP Masjid Tanah (Perikatan Nasional) Datuk Mas Ermieyati Samsudin membangkitkan tentang situasi itu ketika MP Lubok Antu (GPS) Roy Angau Gingkoi berbahas dan kiraan terpaksa dilakukan.
“Peraturan Mesyuarat 13(1), cukup bilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.
“Saya kira di sini kurang daripada 26 ahli, Tan Sri,” katanya.
Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan perkara tersebut kira-kira pukul 1.30 tengah hari setelah kiraan dilakukan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin sebelum loceng dibunyikan untuk memanggil MP yang berada di luar dewan.
Sidang disambung semula setelah bilangan MP mencukupi korum yang diperlukan.
Lazimnya, sidang Dewan Rakyat berhenti rehat mulai pukul 1 tengah hari hingga 2 petang namun hari ini, ia diteruskan bagi membolehkan 26 MP membahaskan Belanjawan 2024 sehingga pukul 7 malam.