
Iswardy Morni dalam siaran langsung di Youtube bangga dapat menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Penyokong tegar Presiden PKR, Iswardy Morni selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Iswardy, 44, yang juga Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak berdepan pendakwaan mengeluarkan kenyataan melalui akaun Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, pada 3 petang, 29 Mei lepas.
Menurut laporan Bernama, kertas kes pertuduhan terhadap Iswardy dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan.
Hakim Mahyon Talib kemudiannya membenarkan Iswardy diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang membuat apa-apa ulasan terhadap kes itu di media sosial, cetak dan elektronik.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.