
Anwar yang turut berada dalam Lembaga Pengampunan atas kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat setiap individu yang disabitkan hukuman berhak memohon pengampunan termasuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu setiap permohonan yang dibuat kepada Lembaga Pengampunan itu akan diteliti selayaknya tanpa memihak atau prejudis.
“Setiap orang yang dijatuhkan hukuman, ada hak untuk memohon (pengampunan). Malah setiap permohonan itu disemak berlandaskan asas selayaknya tanpa prejudis,” katanya ketika diminta menyatakan pendiriannya berhubung isu pengampunan Najib.
Kenyataan itu dibuat selepas adanya bantahan daripada parti komponen dan sekutu PH, Amanah serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mencetuskan rasa kurang senang kepada UMNO.
Namun Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan kenyataan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad yang merayu agar pengampunan Najib ditolak itu bukan kenyataan parti sebaliknya kenyataan peribadi.
Susulan itu, Amanah melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan permohonan maaf langsung kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan kenyataan Khalid itu.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat semalam memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan yang bersidang Jumaat lalu tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan difailkan Najib.
Ketika persidangan, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.
Anwar yang turut berada dalam Lembaga Pengampunan atas kapasitinya sebagai menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan itu.