
Naib Presiden PAS Senator Datuk Idris Ahmad.
Kedudukan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Bersatu akan dikekalkan, kata Datuk Idris Ahmad.
Naib Presiden itu menafikan spekulasi mendakwa PAS akan meninggalkan Bersatu yang dibuat pihak lawan hanya kerana menyokong Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sebenarnya perkara itu sudah terjawab semalam dalam jamuan raya PAS Pusat yang dihadiri pimpinan tertinggi Bersatu, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.
“Jadi persepsi yang dimainkan mengatakan seolah-olah PAS meninggalkan Bersatu sebab tak bawa sekali berjumpa Dr Mahathir tidak betul sama sekali,” katanya.
Jelasnya, proklamasi itu dibuat untuk menyatukan semua orang dan ia lebih bersifat individu berbanding gabungan politik.
“Ia boleh berjaya kerana ia bukan suatu gerakan politik, sebaliknya lebih kepada usaha menyatukan semua membabitkan individu termasuk mereka yang berbeza parti politik.
“Kita melihat bagaimana kerajaan dipimpin majoriti Melayu di Kelantan dan Terengganu yang tidak pernah berlaku penindasan atau diskriminasi kepada minoriti orang bukan Melayu.
“Perkara yang dicakapkan ini bukan retorik kerana ia ini berlaku di Kelantan walaupun sudah hampir 30 tahun, namun tidak timbul isu soal rasis atau penindasan terhadap bukan Melayu di negara kita,” katanya lagi.
Idris terdahulu menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Dewan Astaka Batu Kurau hari ini.
Pada 3 Mei lalu, media melaporkan beberapa pemimpin PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ diterajui Dr Mahathir.
Idris turut memberikan jawapan sama ketika ditanya tanggapan sesetengah pihak yang mencetuskan persepsi bahawa pertemuan Abdul Hadi dengan Dr Mahathir akan menyebabkan penyokong PAS peringkat akar umbi terluka dengan sejarah yang pernah tercatat antara dua pemimpin berkenaan termasuk kejadian berdarah Peristiwa Memali 1985.
“Semalam dianggarkan hampir 50,000 pengunjung datang majlis raya kita walaupun peristiwa itu (Memali) berlaku di Kedah,” katanya.