Ahli dan penyokong PAS diminta bertenang serta menghormati proses perundangan selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan dan bakal didakwa pagi ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata mengikuti perkembangan kes dan tekanan pihak berkuasa yang dikenakan terhadap Sanusi, bagaimanapun menggesa semua pihak menghormati proses undang-undang negara.
“PAS mengikuti dengan cermat perkembangan kes membabitkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang dilaporkan ditahan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk didakwa di mahkamah hari ini.
“PAS menyarankan semua pihak, khususnya ahli dan penyokong, supaya bertenang dan menghormati proses perundangan,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Awal pagi tadi, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara.
Beliau ditahan sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Bahagian Jenayah Gangsterim (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
Sanusi akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang, pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.