
Muhyiddin berceramah pada pentas akhir ceramah mega PRK Pelangai.
Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu dan merampas dokumen daripada firma guaman dikecam Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang sudah berdepan tindakan bermotif politik oleh rejim kerajaan campuran mendakwa kini SPRM pula dijadikan alat untuk mengancam musuh politik dengan pelbagai tindakan bertentangan dengan lunas undang-undang negara.
“Ini salah guna kuasa sedangkan dia peguam yang pertahankan diri saya. Untuk tujuan apa SPRM pergi sana (buat serbuan).
“Ini seolah-olah ada gambaran sesuatu nak dilakukan. Ini salah guna kuasa pihak tertentu,” katanya pada pentas akhir ceramah mega PRK Pelangai malam tadi.
Media terdahulu melaporkan SPRM menyerbu pejabat peguam peribadi Muhyiddin dan juga firma yang mewakili Bersatu semalam.
Peguam, Rosli Dahlan mengesahkan seramai 12 orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu firma guamannya pukul 10.30 pagi semalam.
Ujarnya, pegawai SPRM yang diketuai individu bernama Mohd. Farid Ismail, Mohamad Safwan Arbangi dan Siti Aida Khairudin menuntut hak menggeledah dan merampas dokumen-dokumen di firma tersebut..
Muhyiddin menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentikan “kezaliman” dan memfokuskan tumpuan kepada ekonomi negara serta membantu rakyat.
“Anwar cukuplah. Jangan teruskan kezaliman dibuat. Berikan tumpuan menyelamatkan ekonomi negara dan beri bantuan supaya rakyat terbela.
“Kemenangan di Pelangai adalah isyarat cukup penting (kepada kerajaan). Saya percaya (boleh menang), ramai datang tunjuk sokongan padu,” katanya.