
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
PAS masih berpendapat penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) masih menjadi formula terbaik dalam membentuk satu kerjasama politik, walaupun menyedari UMNO kini tidak lagi berminat meneruskan hubungan itu.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berpendapat penyatuan ummah amat diperlukan untuk menjadikan negara ini lebih baik dan harmoni pada masa depan.
“Kita memerlukan kepada penyatuan dan juga perkongsian kuasa untuk semua etnik, kaum, bangsa, agama di negara kita,” katanya di Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya penyatuan ummah bukan terhad kepada parti tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh disertai oleh mana-mana pihak termasuk, pertubuhan bukan kerajaan atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam MN.
“Oleh sebab itu, PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, parti bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.
MN adalah gagasan kerjasama PAS dan UMNO, dicetuskan hasil pendirian Piagam MN yang dimeteraikan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia pada 14 September 2019, setelah kedua-duanya kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, sejak tahun lalu gagasan itu berdepan masalah, khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Sebelum ini, Badan Perhubungan UMNO di beberapa negeri sudah memuktamadkan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan PAS dalam menghadapi PRU-15.
Mesyuarat jawatankuasa parti peringkat negeri berkenaan juga memutuskan tidak bergabung dengan PAS, Bersatu, Amanah atau parti lain.
Sementara, usaha PAS Terengganu untuk meneruskan kerjasama MN dengan UMNO juga berdepan jalan buntu.
Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang, pihaknya sudah cuba untuk mengatur dua pertemuan namun dengan UMNO negeri itu tidak berjaya.
“Kita cuba untuk mengadakan pertemuan ataupun mengadakan kerjasama dalam semua gerak kerja politik, tapi percubaan-percubaan itu tak dapat dilaksanakan lagi sehingga hari ini.
“Bagi pihak Pas, kita telah membuat hubungan sebanyak dua kali, tapi kedua-duanya gagal. Masih gagal, masih tak berjaya lagi kerana Umno sibuk,” katanya.
Mengenai penubuhan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata ia adalah warna-warna politik di negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
“Terpulang kepada mereka… yang penting PAS jelas dari segi hala tuju dan persiapan kita juga lebih jelas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebuah gabungan baharu diberi nama Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan ditubuhkan untuk menumbangkan PAS di Kelantan pada PRU-15.