
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
PAS berpendirian Malaysia bukan sebuah negara sekular seperti yang diinginkan DAP yang mempunyai matlamat untuk mewujudkan Malaysian Malaysia.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbezaan tersebut menyebabkan mereka tidak dapat menerima DAP untuk menjadi rakan sekutu walaupun UMNO sudah menjadi rakan kongsi dalam kerajaan campuran walaupun dahulunya berseteru.
“Soal yang jelas bagi DAP ialah gagasan Malaysia negara sekular dan Malaysian Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 hari ini.
Katanya, matlamat perjuangan DAP itu menjelaskan Malaysia bukan sebagai sebuah negara sekular sebagaimana didakwa parti terbabit.
Menurutnya, kalau Malaysia negara sebuah sekular mengapa perlu DAP masukkan dalam manifesto mereka mahu memperjuangkan sebuah negara sekular.
Beliau berkata, berdasar perkembangan itu menjelaskan Malaysia bukan negara sekular.
“Manifesto DAP itu mengesahkan Malaysia bukan negara sekular. Berkali-kali kita mengingatkan Islam ialah agama persekutuan sebab itu semua acara-acara rasmi mesti dimulakan dengan acara keagamaan Islam.
“Kita dapat lihat pembukaan majlis yang diadakan dengan doa. Lagi pun majoriti rakyat negara ini beragama Islam,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim juga berkata, sejak merdeka rakyat Malaysia menerima beberapa tonggak asas termasuk Islam sebagai agama rasmi, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
“Selain itu kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan negara dan hak keistimewaan Melayu,” ujarnya.
Menurutnya, tonggak tersebut tidak boleh disentuh kerana ia bakal menimbulkan polemik.
Terdahulu Ahli Parlimen DAP dari Kepong, Lim Lip Eng dilaporkan berkata, PAS perlu menerima negara ini merupakan negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.
Ketika ucapan dasar Muktamar PAS kali ke-69 semalam, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata usaha untuk memenangi pengundi bukan Melayu adalah penting pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), selepas mendapat sokongan majoriti Melayu.