
Khairy mendakwa proses pengampunan Najib sengaja dilengahkan oleh kerajaan campuran.
Kerajaan campuran didakwa cuba melengah-lengahkan proses pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak bagi mengelakkan konflik dalam gabungan parti kerajaan.
Dakwaan itu dibuat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata fail pengampunan Najib tidak dibawa ke Lembaga Pengampunan atas arahan pihak atasan dalam kerajaan campuran.
“Apa yang saya difahamkan ialah mereka cuba melengah-lengahkan masa. Mereka tak nak buat keputusan, mereka telah memberi arahan kepada Lembaga Pengampunan ‘jangan bawa fail itu dulu’ dengan guna apa-apa alasan.
“Mungkin ini adalah tanda-tanda ketidaksabaran penyokong ‘Bossku’,” kata Khairy dalam edisi terbaru podcast Keluar Sekejap.
Program wawancara itu diadakan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang juga dipecat parti.
Jelas Khairy lagi, keadaan tersebut berlaku susulan pertikaian antara pemimpin UMNO Johor, Datuk Puad Zarkashi dan Setiausaha Agung, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, selepas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menyerang Rafizi Ramli dari PKR yang gagal menguruskan portfolio ekonominya dengan baik.
Beberapa pemimpin UMNO lain, termasuk Tan Sri Shahrir Samad dan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Nur Jazlan Mohamed, juga secara terbuka mempersoalkan pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang nampaknya muncul tanda-tanda ketegangan dalam parti Melayu itu selepas enam bulan berganding bahu dengan musuh lamanya bagi membentuk kerajaan.
Najib, yang disabitkan pada 2020 atas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana SRC International Sdn Bhd, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu.
Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak semakan kehakiman terhadap sabitan dan hukumannya, yang mendorong desakan oleh penyokongnya dalam UMNO untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Pada April, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau akan menjadi sebahagian daripada Lembaga Pengampunan yang ditugaskan untuk memutuskan pengampunan Najib.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu wujud perdebatan mengenai peranan Anwar dalam mendengar permohonan pengampunan, selepas penyokong PH berkata ia adalah budi bicara Agong.
Khairy berkata Anwar dan Zahid cuba mengelak daripada membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Sebab jika mereka panggil mesyuarat Lembaga Pengampunan, dan memberi nasihat kepada yang Yang di-Pertuan Agong supaya pengampunan itu perlu diberi, itu akan mengundang reaksi negatif di kalangan sebahagian rakyat terutama penyokong PH.
“Kalau mereka memberi nasihat kepada Agong untuk tidak memberi pengampunan, itu akan mengundang reaksi di kalangan orang UMNO dan penyokong kuat Bossku.”