PRN Melaka: Isu agihan kerusi punca UMNO bertanding solo

Perebutan kerusi antara PAS dan Bersatu menjadi punca mengapa UMNO berpendirian untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan.

Menurut Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Bersatu dan PAS masing-masing tidak berpuas hati dengan agihan kerusi yang dibuat UMNO dan ekoran itu, parti Melayu itu terpaksa mengambil keputusan untuk bertanding sendirian tanpa Perikatan Nasional (PN).

Nazri berkata, UMNO bersetuju untuk menyerahkan hanya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing kepada PAS dan Bersatu tetapi ia tidak dipersetujui kerana kedua-dua parti itu menuntut pertambahan kerusi.

Justeru, beliau berkata, PAS serta Bersatu sepatutnya bersyukur dengan agihan kerusi itu dan tidak wajar menyalahkan UMNO sekiranya bertanding sendirian dalam PRN Melaka memandangkan pembahagian kerusi DUN telah dibuat secara adil dan bertimbang rasa.

“Sebelum ini, saya difahamkan UMNO bersedia untuk menyerahkan dua kerusi DUN kepada Bersatu dan dua kerusi DUN kepada PAS, tetapi Bersatu tolak kerana mereka mahu mendapatkan tambahan kerusi pilihan raya.

“Memandangkan kekuatan kedua-dua parti berkenaan (PAS dan Bersatu) lemah dengan Bersatu hampir tiada kekuatan akar umbi bagi menghadapi PRN Melaka, Bersatu dan PAS sepatutnya bersyukur kerana UMNO masih sanggup memberikan empat kerusi DUN kepada mereka bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

“Kedua-dua parti itu juga perlu menerima hakikat sebarang kerjasama PRN Melaka harus memastikan UMNO menjadi ketua kerajaan negeri itu semula,” katanya dalam laporan Sinar Harian. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berulang kali menyatakan pendirian parti itu untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan melaungkan keyakinan BN mampu menang besar pada PRN Melaka. 

Selain itu, Nazri berkata UMNO tiada pilihan lain selain perlu bertanding sendirian selepas tiada kata sepakat dapat dicapai berkaitan agihan kerusi.

Ini kerana, menurutnya, kedua-dua parti itu sepatutnya menerima cadangan UMNO memandangkan Bersatu merupakan sebuah parti yang tiada kekuatan akar umbi dan paling lemah serta PAS pula, tidak memenangi satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu.

“Bersatu merupakan parti yang tiada kekuatan akar umbi serta dianggap paling lemah, manakala Pas pula tidak menang satu kerusi pun pada pilihan raya umum ke-14.

“Justeru, sekiranya Bersatu dan PAS masih enggan bersetuju menerima empat kerusi DUN ditawarkan, UMNO tiada pilihan lain selain bergerak solo,” katanya lagi. 

Sementara itu, difahamkan, PAS menuntut lima kerusi DUN, manakala Bersatu meminta lapan kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka.

Pada PRU14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi DUN Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

BERITA BERKAIT
POPULAR