
Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN).
Sekurang-kurangnya dua pempengaruh media sosial mendakwa data peribadi mereka digunakan tanpa kebenaran dalam isu melibatkan polisi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang diperkenalkan kerajaan Selangor.
Isu berhubung skim insurans INSAN mendapat perhatian selepas tentera siber Pakatan Harapan (PH) menyebarkan maklumat peribadi pempengaruh yang cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN) tanpa kebenaran dalam media sosial.
Bagaimanapun, pempengaruh tersebut menafikan dakwaan dibuat tentera siber pro-PH yang menularkan data peribadi mereka, malahan menjelaskan mereka tidak pernah memohon skim insurans tersebut.
“Tular polisi insuran INSAN oleh Kerajaan Negeri Selangor yang mengandungi nama saya. Pada awalnya saya menganggap ianya adalah kerja cytro PH seperti apa yang mereka buat terhadap DD (pempengaruh) dan saya tidak ambil peduli.
“Tetapi ada yang kata memang betul nama saya ada dalam skim insuran itu. Dan apa yang terjadi, ‘out of curiosity’ rakan-rakan saya, masuk ke portal Program Insan dan menyemak IC (kad pengenalan) saya dan mendapati saya adalah ‘policy holder’.
“Saya jadi terperanjat kerana saya tidak pernah dengar mengenai skim INSAN sebelum ini, apatah lagi memohon untuk menyertai insuran ini,” kata YB Viral dalam satu hantaran Facebook berhubung skim tersebut.
Terdahulu, data peribadi seorang pempengaruh dikenali sebagai DD Chronicle tular dalam media sosial dipercayai didalangi tentera siber PH yang sedang menyerang aktivis media sosial yang cenderung menyokong PN semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru berakhir.
Menurut penjelasan YB Viral dalam akaun Facebooknya, bukan sahaja maklumat peribadinya yang digunakan tanpa kebenaran, malahan beberapa rakannya yang turut membuat semakan selepas tular isu tersebut juga mendapati maklumat peribadi mereka turut digunakan untuk memohon skim tersebut tanpa kebenaran.
“Tidak berpuas hati, rakan-rakan saya hampir 20 orang menyemak nama mereka melalui portal itu dan mendapati yang mana pengundi Selangor mempunyai polisi didaftarkan pada bulan November tahun lalu walaupun tidak pernah memohon.
“Kami telah korek-korek info mengenai skim ini dan kami dapati ianya kena dipohon. Antara nama yang telah didaftarkan tanpa permohonan termasuklah Mak Iban SZO Official, Zam Yahaya dan Papa Berry.
“Ini adalah salah dari segi undang-undang kerana telah menggunakan data kami ‘without consent’,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, skim INSAN itu dilancarkan pada Oktober 2021 bagi memberi perlindungan insurans kemalangan kemalangan diri tetapi ia mesti dimohon oleh individu tersebut.
Jelas YB Viral, penggunaan maklumat peribadinya tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan dan bakal membuat laporan polis terhadap isu tersebut.
“Jadi saya dan rakan-rakan telah memohon khidmat nasihat pro-bono dari rakan-rakan peguam supaya kita semua boleh buat laporan Polis berkaitan isu ini beramai-ramai.
“Kami sedang meminta tunjuk ajar bagaimana untuk menyediakan template laporan yang boleh dipakai oleh semua yang ingin membuat laporan ini.
“Insya-Allah bermula petang ini kita akan mula buat laporan polis dan sidang media sebaik sahaja template laporan telah sedia. Saya dan rakan-rakan akan memaklumkan kepada semua melalui FB saya ini,” katanya lagi.