
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kerajaan campuran digesa menghormati hak demokrasi rakyat dalam memilih Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar Kedah itu berkata, kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan menghukum pentadbiran kerajaan negeri hanya kerana rakyat sudah membuat keputusan memilih PN dan memintanya supaya menjadi seorang pemimpin yang matang.
“Mana boleh macam itu (menghukum rakyat kerana memilih PN)… ini demokrasi. Dalam politik berpuluh tahun sudah demokrasi… tidak boleh macam itu, kena faham demokrasi.
“Jangan menghukum orang kerana itu… tidak boleh, berdosa. Kita beri rakyat memilih, kemudian rakyat membuat pilihan… selepas itu, kita hukum dia… ingat dosa pahala sama,” katanya dipetik laporan BH.
Sanusi juga berharap kepimpinan Kerajaan Perpaduan tidak akan menyimpan sebarang ‘perasaan’ dalam hati, terutama berkaitan hal politik sebelum ini.
“Permulaan baharu (hubungan Kerajaan Kedah dengan Kerajaan Persekutuan), saya bersedia untuk (membuka) lembaran baharu. Kalau mereka bersedia, Alhamdulillah… kalau mereka masih menyimpan dalam hati, saya tak tahu.
“Mana boleh simpan dalam hati, hal pemerintahan kerajaan… urusan kena ikut prosedur kerajaan. Hal hati mana boleh bawa, kena simpan dalam peti,” katanya lagi.
Terdahulu, Sanusi, 49, melafaz sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, pada jam 10.15 pagi tadi.
PN mendapat kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lepas.