
Hans Isaac dan Altimet, masing-masing tewas dalam pemilihan Cabang Ampang.
Dua artis yang masuk bertanding buat kali pertama dalam pemilihan cabang PKR kali ini tewas dalam keputusan yang mula diumumkan hari ini.
Pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac dan penyanyi Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet tewas selepas gagal meraih undi yang cukup memenangi pemilihan peringkat Cabang Ampang.
Han Isaac atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac sekadar memperoleh 609 undi sementara Altimet, turut tewas, memperoleh 589 undi.
Pemilihan bagi Ketua Cabang Ampang dimenangi Daing Muhammad Reduan Bachok, yang memperoleh 942 undi.
Sementara itu di Cabang Pandan, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menang jawatan Ketua Cabang Pandan selepas memperoleh 548 undi mengatasi pencabarnya, Mohamad Rashidi Hasan yang memperoleh 373 undi.
Sementara di Cabang Gombak, menepati ramalan apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari menang bagi jawatan Ketua Cabang Gombak mengatasi pesaingnya, yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.
Amiruddin memperoleh 1,858 undi mengatasi Farhash yang memperoleh 1,215 undi.
Setakat jam 1.45 petang ini, tiga negeri sudah mengumumkan keputusan bagi pemilihan PKR iaitu Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.