
Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin kini berhasrat untuk memohon menyertai parti Amanah.
Zahidi yang dilabel sebagai ‘tong sampah’ selepas menyuarakan hasratnya untuk menyertai PKR kini terpaksa mencari alternatif lain, ia susulan akar umbi PKR enggan menerima bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu.
“Sebelum ini saya ada memaklumkan akan masuk PH tidak mengira parti komponen yang mana satu pun malah kita sedang berbincang dengan PKR atau Amanah tetapi apabila kita bertanyakan kepada akar umbi (Padang Besar), mereka menyarankan saya supaya menyertai Amanah disebabkan perhatian boleh diberikan di kawasan ini terutamanya berkaitan pertanian oleh kerana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu adalah Presiden Amanah.
“Oleh hal demikian, kita tengah menunggu idea daripada akar umni ini supaya kita dapat sampaikan kepada pihak di atas (PH) dan kepimpinan AMANAH kerana hari ini juga seramai 150 orang hadir di sini hendak menyertai PH sama ada PKR atau Amanah
“Namun, saya lebih condong penyertaan kepada Amanah malah (pemangku) Setiausaha Amanah Kawasan Padang Besar juga turut hadir dalam majlis hari ini,” katanya dipetik laporan BH.
Katanya, sekiranya penyertaannya ke dalam Amanah diluluskan maka sokongan terhadap PH terutama Amanah di Padang Besar akan bertambah kerana dijangka 2,000 orang akan menyertai parti itu secara berperingkat selepas ini.
Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Padang Besar, Kapten (B) Mohamad Yahaya dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya sudah berbincang dgn semua AJK Amanah Kawasan dan mengambil ketetapan bahawa pihaknya terbuka bagi sesiapa yang mahu menyertai parti itu.
Semalam, PKR Perlis melabel Zahidi sebagai ‘tong sampah’ dan jangan menerimanya masuk sebagai ahli parti.
Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd Jalil menyifatkan Zahidi tidak layak berada dalam parti itu dan akan mengganggu hubungan antara parti-parti yang menyokong kerajaan campuran.
“Sebagai sebuah parti membawa agenda reformasi, kita amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai PKR khususnya untuk menjayakan agenda Malaysia Madani namun kita dah ada pengalaman sebelum ini di mana adanya pemimpin yang tergolong dalam kategori ‘tong sampah’.
“Berapa ramai dah pemimpin lawan yang kononnya tokoh dari parti tertentu masuk ke PKR dan diangkat sehingga mendapat jawatan namun akhirnya mereka khianat dengan menikam kita balik,” katanya.