
Khairy Jamaluddin menerima mesej daripada Mohamad Hasan untuk memberi laluan di Parlimen Rembau pada PRU-15.
Memandangkan menyandang jawatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata berhak untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sekali pun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Mohamad enggan mengesahkan kerusi Rembau yang disandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar bakal diambilnya untuk bertanding pada PRU-15 dan menjelaskan setakat ini hanya menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi belum memilih kerusi yang akan ditandinginya setakat ini.
“Saya belum cakap pasal kerusi lagi dan Rembau pun, saya hanya bercakap soal kesiapsiagaan jentera parti.
“Saya hanya bagi tahu akan bertanding di peringkat Parlimen dan tiada nyatakan kerusi di mana pun. Fokus kami bincang soal jentera dan belum lagi membabitkan soal calon dan kerusi mana.
“Saya tak pernah cakap nak bertanding (kerusi Parlimen) di mana-mana, cuma saya bagi tahu sudah sampai masanya untuk bertanding di peringkat Parlimen, di Parlimen mana suka hati saya lah, saya Timbalan Presiden,” katanya dipetik laporan BH.
Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding kerusi Parlimen dan susulan itu Khairy yang juga Menteri Kesihatan memberitahu berkemungkinan tidak bertanding semula di Rembau, kerusi yang disandangnya sejak 2004.
Keputusan Khairy itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, yang mahu bertanding di Parlimen Rembau.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, UMNO tidak akan mengamal dasar menetapkan calon tertentu perlu kekal di kerusi masing-masing.
Beliau berkata, setiap negeri akan mencalonkan nama dan kerusi masing-masing sebelum rundingan dibuat di peringkat kepemimpinan tertinggi BN untuk menentukan dan membuat keputusan.
“Kita akan lihat siapa yang dianggap layak dan boleh dipertimbangkan untuk kita jadikan sebagai calon.
“Kriteria utama adalah hendak menang dan saya tiada isu berkaitan hubungan peribadi atau agenda tertentu (dalam pemilihan calon) dan sebagainya.
“Keutamaan saya sebagai Pengarah Pilihan Raya adalah hendak menang, bila nak menang kita kena cari kaedah nak menang walaupun calon itu dah lama di situ (kerusi), tapi kalau dia boleh menang, kenapa tidak (dipilih),” katanya.