
Satees Muniandy.
Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam M. Satees membuat laporan polis selepas mendakwa beliau dan ejennya menerima ugutan dan maki hamun calon dan penyokong Pakatan Harapan (PH) bagi DUN sama.
Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Butterworth kerana bimbang ancaman terhadapnya selepas diugut oleh tujuh hingga lapan orang lelaki ketika dia dan ejennya sedang membuat pemeriksaan peti undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior kira-kira 2.45 petang, menurut laporan Bernama.
“Saya dan ejen dikepung, diugut, dimaki hamun semasa memeriksa peti undi dan juga di luar sekolah…ada seorang daripada mereka mencabar untuk bergaduh manakala seorang lagi mengugut saya dengan perkataan ‘kamu tunggu selepas esok’,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
Satees yang merupakan penyandang DUN Bagan Dalam keluar DAP selepas namanya digugurkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bertanding sebagai calon Bebas menggunakan lambang pokok, berdepan persaingan empat penjuru melibatkan K. Kumaran (PH), K. Jayamaran (Perikatan Nasional) dan S. Rajasakanan dari Penang Front Party (PFP).