
Dewan Undangan Negeri Selangor.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu selepas memperoleh sokongan majoriti semasa pemilihan hari ini.
Bekas ADUN Banting, Lau Weng San menerima sokongan wakil Pakatan Harapan (PH) dan UMNO semasa pemilihan di dewan selepas mendapat 34 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Fuad Mohd Salleh, yang mendapat 22 undi.
DAP semasa pilihan raya negeri (PRN) Selangor sebelum ini menuntut jawatan Speaker tersebut.
Sementara itu, Kamri Kamaruddin dari PKR dipilih sebagai Timbalan Speaker.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menuntut jawatan speaker diberikan kepada calon daripada parti itu sebagai pampasan kerana bersetuju memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di DUN Dusun Tua sebelum ini.
“Perdana menteri telah bersetuju dengan syarat itu,” kata Loke sebelum pilihan raya.
DUN Selangor ketika ini menyaksikan blok pembangkang terbesar dalam sejarah, yang kesemuanya adalah wakil Melayu, mencerminkan defisit sokongan pengundi Melayu terhadap PH dan UMNO sejak pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, hanya 16 wakil rakyat Melayu daripada 34 ADUN di blok kerajaan, termasuk dua daripada UMNO.
Sebelum ini juga, Loke yang juga menteri pengangkutan, turut mengumumkan seorang lagi ahli DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, pelabuhan terbesar negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan.