
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Wang berjumlah RM2.3 bilion yang masuk ke dalam empat akaun Ambank milik tidak diketahui dari mana sumber tersebut, kata Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Zeti yang menjadi saksi perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu mahkamah Datuk Seri Najib Razak tidak pernah bertanya dari mana sumber wang dipindahkan ke akaun peribadinya itu.
Zeti yang bersara pada 30 April 2016 berkata, malah bekas Perdana Menteri itu tidak pernah pada bila-bila masa membuat pertanyaan mengenai sumber transaksi dana itu kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Kamal Bahrin: Adakah Najib pada bila-bila masa bertanya mengenai sumber transaksi dalam empat akaunnya?
Kamal Bahrin: Terdapat RM2.3 bilion dalam akaun Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Adakah BNM atau anda mempunyai pengetahuan berhubung jumlah itu dalam akaunnya?
Zeti: Bank Pusat dan saya pada masa itu tidak mempunyai pengetahuan tentang dana besar dalam akaun beliau.
Sementara itu, Zeti yang juga saksi pendakwaan ke-46 berkata, Ambank gagal memaklumkan beberapa transaksi dana yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib dan berdasarkan Sistem Transaksi Antarabangsa (ITIS) menunjukkan bank itu hanya melaporkan ia dimasukkan dalam akaun bank berkenaan sahaja.
Kamal mengemukakan pertanyaan itu ketika merujuk saksi kepada artikel Malaysiakini bertarikh 2 Julai 2018 di mana Najib mendakwa bahawa Zeti sedar mengenai wang berjumlah RM2.3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic miliknya, tetapi tidak menimbulkan sebarang persoalan.
Menurut Zeti, pada ketika itu BNM dimaklumkan terdapat hanya satu akaun yang ditetapkan sebagai ‘MY’ bagi akaun Sistem Pemantauan Operasi Ringgit (ROMS), bagaimanapun hanya mengetahui pada Disember 2014 bahawa Najib membuka tiga akaun lain pada 2013.
Saksi itu berkata, secara keseluruhan, BNM mengetahui Najib mempunyai empat akaun walaupun akaun pertama ditutup pada 30 Ogos 2013.
Dalam keterangan sebelum ini, Zeti berkata beliau dia tidak mengetahui sejumlah besar wang di dalam akaun Najib dan dia juga tidak tahu bahawa itu adalah dana 1MDB dan mengulangi kenyataannya hari ini.
Beliau menegaskan, mengikut undang-undang sekiranya BNM mendapat maklumat terdapat transaksi yang tidak teratur atau mencurigakan, ia perlu memaklumkan kepada agensi penguatkuasaan dan dalam kes ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis.
Katanya, BNM tidak dibenarkan memaklumkan perkara itu kepada pihak lain, termasuk pemegang akaun.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Pasukan pembelaan tertuduh berhujah bahawa Najib tidak tahu menahu mengenai sebarang salah laku dan penyelewengan wang 1MDB didalangi oleh Jho Low dan beberapa ahli pengurusan dana pelaburan negara itu.