
Dos penggalak kedua boleh diambil individu yang sihat berusia sekitar 50-60 tahun.
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menetapkan sasaran bagi jumlah penerima dos penggalak kedua vaksin Covid-19 di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau menjelaskan bahawa KKM secara konsisten melakukan usaha meluas ke arah membina kesedaran orang ramai tentang kepentingan vaksinasi Covid-19.
“Saya rasa ramai yang sudah tahu tentang Covid-19 dan faedah divaksin serta di mana untuk mendapatkan vaksin itu,” katanya pada sidang media pelancaran program kesedaran kanser di ibu negara, hari ini.
Beliau menyatakan harapan kepada doktor untuk terus menyokong pemberian dos penggalak kedua kepada pesakit mereka yang layak atau berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Lima peratus rakyat Malaysia berumur 70 hingga 79 tahun telah mengambil penggalak kedua mereka, manakala hanya 4.5 peratus bagi mereka yang berumur 80 tahun ke atas, kata Khairy.
Sehingga semalam, 402,116 individu pelbagai peringkat umur telah mengambil suntikan dos penggalak kedua.
Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari tahun lalu, 72,148,519 dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia termasuk rakyat asing.
Mengulas lanjut Khairy berkata KKM menjangkakan pengambilan dos kedua tidak akan tinggi, namun kementerian akan terus menggalakkan mereka yang berumur di atas 50 tahun dan mempunyai masalah kesihatan untuk mengambil suntikan kedua.
Beliau juga berkata kementerian telah membincangkan dasar vaksinasi Covid-19 pada masa depan dan akan berunding dengan pakar sebelum membuat keputusan.
“Nampaknya kami tidak akan menawarkan (suntikan penggalak kedua) kepada semua orang. Saya tidak fikir ia berkemungkinan besar melainkan terdapat varian baharu yang teruk,” tambahnya.
“Tetapi, saya akan mengumumkan dasar KKM sebaik sahaja kami mendapat kejelasan mengenainya,” katanya.