Syed Saddiq arah keluar tunai RM1 juta dari bank: Saksi pendakwaan

July 4, 2022 · Isu semasa

Seorang saksi pendakwaan dalam kes pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengarahkan Penolong Setiausaha dan Bendahari Armada Bersatu mengeluarkan wang tunai RM1 juta daripada akaun parti itu.

Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32, yang juga bekas pegawai khas Syed Saddiq, dalam pernyataan bertulisnya memberitahu mahkamah, beliau dan Rafiq Hakim Razali diarah berbuat demikian pada awal Mac 2020 dalam perjumpaan di rumah Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya.

Ahmad Redzuan berkata Syed Saddiq ada berbincang mengenai pertukaran kerajaan dan kedudukan Armada dalam kerajaan kerana beliau berada dalam blok pembangkang bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Syed Saddiq mengarahkan Rafiq Hakim dan saya mengeluarkan wang daripada akaun Armada Bersatu secara tunai.

“Syed Saddiq mengatakan wang berkenaan perlu dikeluarkan daripada akaun kerana beliau bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan Armada dan untuk kegunaan mengukuhkan kedudukannya sebagai Ketua Armada Bersatu sekiranya berlaku pergolakan dalaman menerusi program membabitkan Armada,” katanya memetik laporan BH.

Saksi ke-11 pendakwaan itu berkata, Syed Saddiq memberitahu duit dalam akaun sayap Pemuda Bersatu Pusat di CIMB adalah hasil titik peluh beliau mencari sumbangan dan berhak menggunakan duit berkenaan sepenuhnya.

Katanya, Syed Saddiq memanggil beliau dan Rafiq Hakim kerana mereka adalah antara pemegang amanah dan penandatangan cek CIMB Bank Armada Pusat.

“Perjumpaan ini adalah sebelum 6 Mac 2020 iaitu tarikh pengeluaran wang tunai berjumlah RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.

“Pengeluaran wang RM1 juta ini adalah daripada akaun CIMB Bank bernombor 80-0848352-5 atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada Pusat),” katanya.

Ahmad Redzuan berkata, ketika Syed Saddiq mengarahkan beliau dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang tunai RM1 juta daripada akaun rasmi Armada, Syed Saddiq tidak memberitahu sama ada ia mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu atau sebaliknya.

“Ketika perjumpaan di rumah Syed Saddiq, beliau memberitahu wang tunai yang akan dikeluarkan adalah semata-mata untuk kegunaan parti.

“Saya mengetahui arahan Syed Saddiq adalah satu kesalahan selepas dipanggil pihak SPRM pada 3 Jun 2020 kerana melanggar Perlembagaan Bersatu dalam Fasal 24 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Ahmad Redzuan, menurut Fasal 24, Bendahari Agung hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi RM50,000 pada satu-satu masa dan wang itu mesti disimpan di tempat selamat dalam pejabat berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti.

Katanya, perbelanjaan yang melebihi RM500,000 pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran MPT.

“Saya sahkan Syed Saddiq sendiri tidak boleh mengeluarkan wang tunai daripada akaun CIMB Bank bernombor 80-0848352-5 tanpa mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkannya.

“Berhubung isu RM1 juta itu, walaupun kelulusan dikeluarkan oleh Syed Saddiq kepada saya dan Rafiq Hakim untuk mengeluarkan wang RM1 juta bagi mengukuhkan kedudukan YB Syed Saddiq, ia melanggar etika tatacara pengeluaran wang daripada akaun Armada,” katanya.

Katanya, walaupun mengetahui berlaku perlanggaran tatacara pengeluaran wang, beliau terpaksa akur dengan arahan Syed Saddiq atas kapasiti sebagai Ketua Armada dan Ahli Parlimen Muar.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Popular
10 peraturan kekal terpakai dalam fasa endemik mulai 1 April
March 9, 2022
Terdapat syarikat tandatangan MoU di China tiada rekod prestasi: Johari
May 22, 2023
RUU rokok: Bung nak buka rahsia KJ
June 7, 2023
Dua anggota tentera maut dihempap pokok ketika operasi di Gerik
July 11, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok