Tumpuan pada minggu ini melibatkan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan diadakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis ini.
Mesyuarat MPC pada 6 Julai ini akan menentukan sama ada kadar dasar semalaman (OPR) akan dikekalkan pada 3.00 peratus atau menaikkan kadar faedah lagi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini pada 3 Mei lalu.
Bagaimanapun, sebuah badan penyelidik kewangan, CGS-CIMB meramalkan BNM dijangka akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.25% pada separuh kedua 2023.
Menurut CGS-CIMB Research, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada separuh pertama memberikan keyakinan kepada BNM untuk menaikkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3% awal bulan lalu.
“Semasa taklimat penganalisis dengan BNM menyatakan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan baik manakala inflasi masih di tahap terkawal.
“Mengenai pertumbuhan KDNK, walaupun separuh pertama tahun ini kelihatan stabil tetapi kami masih mengekalkan anggaran setahun penuh ini pada paras 4.4%, walaupun kami melihat sedikit peningkatan jika momentum penggunaan swasta kekal berdaya tahan,” katanya dalam satu nota kajian pada 22 Jun lalu.
Kata firma itu, pertumbuhan KDNK negara meningkat kepada 5.6% separuh pertama tahun ini (7.1% pada separuh keempat 2022), sejajar dengan ramalan mereka sebanyak 5.7% tetapi melebihi konsensus median Bloomberg sebanyak 5.1%.
Untuk rekod, pengumuman kadar OPR pada 3 peratus yang diumumkan BNM lalu merupakan kenaikan kali kelima sejak Mei 2022.
Pada Mei tahun lalu, kadar OPR naik 2.0 peratus, diikuti Julai 2.25 peratus, September naik kepada 2.50 peratus dan November kepada 2.75 peratus.