Malaysia-Mesir sedia eratkan semula hubungan dua hala

June 18, 2021 · Isu semasa

Malaysia memberi komitmen untuk mengeratkan semula hubungan dua hala dengan Mesir khususnya dalam aspek hubungan antarabangsa dan ekonomi selepas perbincangan diadakan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi semalam.

Muhyiddin menyifatkan perbincangan secara sidang video dengan Abdel Fattah tersebut menyentuh kerjasama yang lebih meluas dalam pelbagai bidang, ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Saya mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir, yang mana Tuan Yang Terutama (TYT) Abdel Fattah Al Sisi menyambut baik cadangan ini, dan mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera,” kata Muhyiddin dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Mesir, kata Perdana Menteri, merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion.

Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, platform berkenaan turut digunakan untuk menggalakkan Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi berkenaan daripada negara ini, tetapi juga meningkatkan lagi jumlah import pada masa depan, katanya.

Perdana Menteri berkata menerusi perbincangan itu, beliau dan Abdel Fattah turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan di antara Malaysia-Mesir pada masa depan.

“Dalam hal ini, saya mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation dan cadangan ini telah disambut baik oleh TYT Presiden,” katanya.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin. Peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata di antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu, turut mendapat pujian Malaysia.

“Dalam hal ini, saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

“Alhamdulillah, TYT Presiden menyatakan kesediaan kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Mesir atas peluang pendidikan yang telah diberikan kepada rakyat negara ini untuk melanjutkan pelajaran di negara berkenaan.

Katanya ketika ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu.

Mengakhiri perbincangan, kedua-dua pemimpin saling mengundang untuk masing-masing mengadakan lawatan rasmi ke atas kedua-dua negara selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Berita berkaitan
Zambry kata lawatan sulung ke Perancis satu kejayaan, kukuhkan hubungan
June 3, 2023· Isu semasa
Hassan kecewa ketua pembangkang Kemboja diusir kerajaan
June 1, 2023· Politik
Tiada nama taikun Melayu dalam senarai individu terkaya Forbes di Malaysia
June 1, 2023· Isu semasa
Permohonan Muhyiddin batal 4 tuduhan rasuah RM232.5 juta 11 Julai ini
May 31, 2023· Isu semasa
Popular
Terima ugutan sindiket along, Ketua Polis Pulau Pinang tak akan tunduk
June 3, 2023
Dakwaan P.Pinang milik Kedah, tak perlu takut kata Samsuri
June 3, 2023
Wanita cemas kereta terperangkap dalam banjir kilat di Klang
June 4, 2023
China mungkin tidak benarkan Jho Low balik Malaysia, kata Justo
June 4, 2023
Lagi Isu semasa terkini
China mungkin tidak benarkan Jho Low balik Malaysia, kata Justo
3 jam lalu · Isu semasa
Suri rumah hangus RM110,556 terperdaya sindiket penipuan
6 jam lalu · Isu semasa
Wanita cemas kereta terperangkap dalam banjir kilat di Klang
6 jam lalu · Isu semasa
Terima ugutan sindiket along, Ketua Polis Pulau Pinang tak akan tunduk
20 jam lalu · Isu semasa
Radzi berharap Dr Noor Hisham terus menyumbang kepada negara
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ucapan Sanusi di himpunan jentera PB Best Pulau Pinang
12 jam lalu
[VIDEO] Ucapan Dominic di himpunan jentera PN Pulau Pinang
14 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok