
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan perintah khidmat masyarakat selama 200 jam terhadap Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai serta menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella, dua tahun lalu.
Dalam keputusan diumum Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, pasukan pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi bagaimanapun memberi peluang kepada peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, untuk merayu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama memberi keterangan pada prosiding bermula 26 Januari lalu.
Saksi lain memberi keterangan ialah pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai serta pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad.
Siti Bainun, 31, sepatutnya memberi keterangan membela diri pada 16 Januari lalu, namun prosiding ditangguhkan berikutan tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maarof dan Nur Ellena Mohamed Razif menarik diri daripada mewakilinya.
Prosiding membela diri itu bersambung keesokannya, namun dua lagi peguamnya iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil turut membuat keputusan menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.
Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.