Doktor kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) tetap dengan pendirian mereka untuk tidak bertugas selapa tiga hari dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan, mulai esok.
Langkah itu dijangka diambil sehingga 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan yang bakal menyertai mogok di seluruh negara sebagaimana dirancang.
Bagaimanapun, kumpulan Mogok Doktor Malaysia berkata mereka tidak akan mengadakan perhimpunan atau demonstrasi kerana ada laporan mengatakan tindakan sedemikian akan digunakan oleh ahli politik untuk menghukum mereka.
BH memetik jurucakap kumpulan itu yang hanya dikenali sebagai Dr Jamal berkata mereka telah hilang kepercayaan kepada KKM dan ahli politik hanya menabur janji palsu.
“Kami sudah hilang kepercayaan terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) dan ahli politik yang menabur janji palsu. Doktor kontrak ialah pekerjaan mulia, bukan kuli,” katanya.
Ditanya sama ada mereka tidak bimbang jika berdepan tindakan akibat mogok berkenaan, Dr Jamal berkata, tiada tindakan akan diambil jika doktor kontrak mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.
Mengenai perkhidmatan kepada pesakit yang mungkin terjejas jika mereka tidak hadir bertugas, Dr Jamal berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis awal supaya orang awam tidak datang ke fasiliti kerajaan, sebaliknya disaran mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta.
“Kami berharap orang awam tidak pergi ke hospital kerajaan dan sebab itu, kami sudah mengeluarkan notis awal kepada semua.
“Jika ada apa-apa kematian disebabkan rawatan yang lewat, kami tidak akan mengambil sebarang tanggungjawab kerana kami tidak bekerja pada tiga hari berkenaan.
“Pesakit mengambil risiko sendiri jika pergi ke hospital awam atau klinik kesihatan. Kami sudah memberi notis awal tapi kami berharap tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.