Dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bagi meminta Parlimen dibubarkan segera tidak disahkan pihak Istana Negara.
Laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber berkata setakat ini Istana Negara tidak menerima sebarang makluman berhubung Ismail Sabri akan menghadap Agong.
“Tetapi setakat ini belum ada apa-apa makluman lagi (tentang kunjungan dari Perdana Menteri),” menurut laporan dipetik portal tersebut.
Terdahulu, media melaporkan ketua cawangan UMNO dipecat, Datuk Zaharin Mohd Yasin membuat pendedahan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon pembubaran Parlimen.
Zaharin mendakwa kononnya Ismail Sabri akan ditemani Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Istana Negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera.
Tangkap layar kenyataan Zaharin itu juga tular dalam platform media sosial lain dan ia menimbulkan spekulasi bakal tercetus satu lagi drama politik yang tidak berkesudahan.
Setakat ini, tiada sebarang penafian daripada Setiausaha Agung UMNO mahupun kenyataan rasmi menafikan dakwaan Zaharin tersebut.
Namun, ia menimbulkan minat pengamal media yang berkemungkinan akan berkampung di hadapan Istana Negara bagi membuat liputan berhubung dakwaan Zaharin tersebut.
Malah, kenyataan Zaharin itu juga menghangatkan lagi suasana politik tanahair selepas UMNO pada Jumaat lepas membuat pendirian agar Ismail Sabri mempersembahkan dengan kadar segera cadangan pembubaran Parlimen kepada Agong yang mahu ia diadakan juga pada tahun ini.
“Khabar cerita esok pagi (Isnin) Datuk Seri Ismail Sabri diiringi oleh Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Istana Negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera,” kata Zaharin semalam.
Dalam pada itu, difahamkan, Ismail Sabri dijangka mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya pada pukul 11 sehingga pukul 4 petang di Pejabat Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.
Mesyuarat itu dipercayai bagi membincangkan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).